PENJAGA gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias menyokong kenyataan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon diberikan masa dalam membentuk sebuah pasukan yang mantap.
Mohd Farizal yang juga penjaga gol nombor satu JDT berkata, Pan-gon masih baru bersama skuad kebangsaan dan memerlukan tempoh sewajarnya untuk mengenal pasti keupayaan barisan pemain negara.
"Saya setuju (kenyataan Tunku Ismail) kerana jurulatih baru berada di sini dan dia harus mengenal pasti kebolehan pemain dan mengenal pasti bagaimana cara untuk bermain.
"Jadi sudah pasti untuk berjaya kena ambil masa sedikit,” katanya ketika ditemui sebelum sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional di Bukit Jalil di ibu negara pada Jumaat.
Pada Khamis, Tunku Ismail bertitah masih terlalu awal untuk menilai tahap dan kemampuan Pan-gon mengendalikan skuad kebangsaan.
Baginda bertitah kemampuan seseorang jurulatih itu tidak boleh diukur berdasarkan saingan bagi satu musim sahaja, sebaliknya Pan-gon perlu diberikan masa untuk membuktikan kemampuannya membawa kejayaan buat pasukan negara.
Sementara itu, Mohd Farizal mengakui Pan-gon membawa satu kelainan dalam corak dan pendekatan latihannya selepas lima hari menjalani sesi latihan di bawah bimbingan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu sejak Isnin lepas.
"Satu latihan yang berbeza daripada sebelum ini iaitu apa yang cuba dia terapkan dari segi intensiti dan juga komitmen pemain dalam padang, jadi perkara itu kita harus kekalkan di dalam latihan dan juga perlawanan yang akan datang,” kata pemain berusia 36 tahun itu.
Mengulas lanjut, Mohd Farizal berkata, sesi latihan dikendalikan Pan-gonPan Gon tidak terlalu lama, namun 'singkat' dan 'tegas' sekali gus menyifatkan kaedah itu bagus untuk barisan pemain.
"Mungkin kepada pemain JDT sudah biasa dengan perkara intensiti dan sebagainya tetapi saya harap pemain-pemain lain dapat biasakan keadaan itu dan dapat menyesuaikan diri dengan apa yang cuba dibawa jurulatih,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Bernama mendapati hanya seramai 25 pemain menjalani sesi latihan pada Jumaat dengan kelibat Mohamad Hakimi Abdullah dan Muhammad Rahadiazli Rahalim tidak kelihatan.
Kedua-dua pemain Terengganu FC itu dipercayai terpaksa menjalani kuarantin kerana bergejala walaupun keputusan ujian saringan Covid-19 pada Jumaat adalah negatif.
Skuad kebangsaan akan berlepas ke Singapura Selasa depan bagi memulakan saingan Siri Tiga-Negara FAS 2022 menentang Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah (26 Mac) di Stadium Nasional Singapura dengan kedua-dua aksi itu berstatus aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1.
Selepas itu pasukan negara dijadual menamatkan siri aksi persahabatan di republik itu menentang pasukan Liga Singapura, Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram