
SETELAH dibatalkan tahun lepas berikutan Covid-19, saingan perlumbaan jelajah berbasikal terulung negara, Le Tour de Langkawi (LTdL) kembali mewarnai arena sukan tanah air pada Jun depan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, setakat ini lima pasukan telah berdaftar dan lebih 20 lagi termasuk 18 pasukan dari luar negara telah menyatakan kesediaan mereka menyertai perlumbaan berkenaan.
"Kita tetapkan semua peserta wajib mendapat vaksinasi atau berdepan masalah untuk masuk ke negara kita malah mereka (peserta antarabangsa) hendak terbang dari negara mereka juga akan menghadapi masalah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pengenalan Laluan LTdL 2022 di Ipoh, Perak pada Ahad.
Beliau berkata, saingan edisi ke-26 berstatus UCI ProSeries itu dijadualkan pada 11 hingga 18 Jun, meliputi laluan sejauh 1,183 kilometer (km) membabitkan lapan peringkat menyusuri laluan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Pulau Langkawi.
Katanya, meskipun masih berada dalam era pandemik, kementerian bersama penganjur acara Human Voyage dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memutuskan menganjurkan saingan 2022, bagi meneruskan tradisi dan kesinambungan LTdL sebagai acara jelajah berbasikal paling berprestij negara.
"Dengan kembalinya LTdL 2022, peminat sukan berbasikal tentu teruja. Selain merancakkan semula aktiviti ekonomi negara, ia diharap membuka mata mengenai keadaan sebenar dalam negara, terutamanya tahap keselamatan dan langkah ketat yang diambil untuk mengawal penularan wabak Covid-19,” katanya.
Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) sepanjang penganjuran perlumbaan itu, Ahmad Faizal berkata, kemungkinan pihaknya memberi sedikit kelonggaran dalam peralihan negara ke fasa endemik dan semua pihak diminta mengutamakan SOP kendiri.
"Saya fikir dalam waktu melepaskan perlumbaan dan penghujungnya pihak penganjur perlu mengikut SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan termasuk untuk orang ramai yang berada di sepanjang perjalanan," katanya.
Perlumbaan LTdL berstatus Pro Series, iaitu setakuk di bawah kategori tertinggi Siri Jelajah Dunia UCl iaitu Tour de France, Giro d'ltalia, Vuelta Espana, saingan Klasik serta perlumbaan Jelajah Dunia lain.
Berbeza saingan 2020 yang bermula di Kuching, Sarawak, LTdL 2022 kembali berpusat di Semenanjung dan tertumpu di Pantai Barat bermula di Kuala Lumpur, menyusuri laluan ke selatan di Kuala Pilah, sebelum merentasi Kuala Klawang ke Raub seterusnya pendakian getir ke Genting Highlands yang hadir seawal peringkat ketiga dari Putrajaya.
Satu lagi laluan pendakian getir dari pekan Kuah ke Gunung Raya di Langkawi, bakal menjadi tarikan sebelum penamat dengan laluan loop di Langkawi.
Sejak bermula pada 1996 dengan kategori 2.6, LTdL menjadi gelanggang pilihan pasukan dan pelumba profesional termasuk dari negara kuasa besar sukan berbasikal seperti Itali, Perancis, Sepanyol, Jerman, Britain dan negara Eropah lain. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram