PASUKAN PUBG Mobile, Tabah-NSEA yang bakal membuat penampilan sulung di Sukan SEA Hanoi pada Mei ini, enggan terbeban dengan perkataan juara dan pingat emas pada temasya tersebut.
Pasukan itu bagaimanapun mahu menampilkan prestasi yang cemerlang dan membawa pulang pingat emas buat Malaysia.
Menurut pengurus pasukan, Mohd Farizal Khairuddin, walaupun diletakkan sebagai pasukan bukan pilihan, beliau optimis sasaran itu mampu dicapai, menerusi latihan intensif lima atletnya menjelang temasya sukan tersebut.
"Kami akan berikan yang terbaik, tetapi kalau tak dapat emas pun, sekurang-kurangnya ada pingat untuk dibawa balik.
"Kami pun tak jangka dapat mewakili Malaysia, semasa kelayakan untuk ke Sukan SEA kami bermain dalam keadaan positif Covid-19, tapi kami tak patah semangat serta dapat buat yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Tabah-NSEA dianggotai oleh Mohamad Amizul Hafiz Mohd Fadzli (NSEAFranky), Muhammad Irfan Jafni Mohamad (NSEAMagix), Muhammad Farish Husaini Zailani (NSEAFlax0P), Muhammad Faiz Aiman Baharuddin Abdullah (NSEAXRushNN1) dan Muhammad Aduka Ikmal Azmi (NSEAAduka).
Pernah memenangi beberapa pertandingan sukan elektronik dalam negara, Mohd Farizal berkata, pasukannya akan menggunakan pengalaman diraih itu, sekali gus mengekalkan momentum baik pada Sukan SEA nanti, selain turut menggunakan khidmat seorang pemain berpengalaman.
Selain Tabah-NSEA, Malaysia juga diwakili oleh Geek Fam.
Pada Sukan SEA kali ini, Malaysia dijangka bersaing dalam acara PUBG Mobile, Free Fire, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Arena of Valor dan League of Legends. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram