PENERBIT permainan video, Electronic Arts (EA) dikhabarkan bakal menamatkan perjanjian dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang terjalin selama 30 tahun.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EA, Andrew Wilson dalam satu mesyuarat dalam syarikat berkenaan pada November 2021, beliau percaya firma itu akan menjadi lebih baik sekiranya menamatkan hubungan dengan FIFA.
Tambah Wilson, lesen FIFA telah menjadi penghalang kepada cita-cita untuk siri permainan video FIFA.
Dakwanya lagi, FIFA menghalang EA daripada mengembangkan permainan video FIFA atau ekosistem digital lebih luas dan menyatakan satu-satunya pendapatan yang diperoleh daripada lesen FIFA ketika tahun tidak berlangsungnya Piala Dunia adalah abjad 'FIFA' yang dicetak dalam setiap bekas permainan tersebut.
“Saya boleh katakan dan ini mungkin sedikit berat sebelah bahawa jenama FIFA itu mempunyai makna yang lebih besar sebagai sebuah permainan video daripada sekadar sebuah badan pentadbir bola sepak antarabangsa.
"Kami bukan menerimanya bulat-bulat dan kami bukan cuba untuk berlagak. Kita berusaha begitu gigih untuk mencuba apa yang termampu dan ingin FIFA memahami apa kami perlukan untuk masa depan.
"Pada tahun berlangsungnya Piala Dunia, kita mendapat akses ke Piala Dunia namun dalam konteks lebih meluas tentang bola sepak global, Piala Dunia penting tapi bukan paling penting. Kita ada 300 lesen lain yang boleh memberikan kandungan kepada para pemain.
"Para pemain kami memberitahu yang mereka mahu lebih banyak jenama budaya dan komersial yang lebih relevan kepada mereka dalam pasaran, seperti jenama Nike. Namun disebabkan FIFA memiliki hubungan dengan Adidas, kami tidak dapat melakukannya.
“Dalam memastikan kita bergerak ke hadapan, kami mahu mengembangkan francais ini dan ironinya lesen FIFA sebenarnya menjadi penghalang kepada perkara itu," ujar Wilson.
EA dan FIFA terlibat dalam beberapa siri kenyataan yang berbolak-balik dan tercetus apabila penerbit permainan video itu mendedahkan sedang mempertimbangkan menamatkan hubungan dengan badan induk bola sepak dunia itu.
Kontrak FIFA dan EA bakal tamat selepas Piala Dunia Qatar yang bakal berlangsung pada tahun ini.
Pada Oktober lalu, FIFA dilaporkan menuntut EA membayar sebanyak RM10.5 bilion untuk perjanjian lesen bagi 10 tahun seterusnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram