Mann kongsi tip kuasai Mobile Legends


  • eSports
  • Sabtu, 05 Feb 2022

MANN (kiri) menyasarkan untuk meraih kejayaan dalam MPL MY tahun ini bersama Team Haq. — Ihsan Mann

PERMAINAN video mudah alih mendapat tempat di hati masyarakat dunia seiring dengan peredaran perkembangan teknologi telefon pintar.

Bagi atlet e-sukan Mobile Legends, Aiman Zairie Anuar atau lebih dikenali sebagai Mann menyifatkan permainan video mudah alih lebih mudah dimainkan di mana-mana sahaja dan tidak hanya terhad di sesuatu tempat berbanding permainan konsol.

Antara permainan yang menjadi pilihan para pemain permainan mudah alih di seluruh dunia adalah Mobile Legends.

Mobile Legends diperkenalkan kepada dunia pada 2016 dan merupakan salah satu permainan video mudah alih paling terkenal di rantau Asia Tenggara dan mencecah lebih satu bilion muat turun di peringkat global.

Ketika ditanya apa kelebihan Mobile Legends berbanding permainan lain, Mann berkata: "Permainan video itu menekankan aspek kerjasama antara anggota pasukan dan mementingkan strategi.

"Selain itu, Mobile Legends juga membantu saya mencari kawan baharu dalam permainan berkenaan.

"Apa yang penting, anda perlu kerap bermain bagi memantapkan kemahiran dalam Mobile Legends kerana dari situ kita boleh belajar atau mengetahui cara bermain atau kelebihan sesuatu watak," katanya kepada Majoriti.

Tambah Mann, karakter kegemarannya sewaktu bermain Mobile Legends adalah Pharsa.

"Kelebihan karakter itu adalah dia mempunyai kemahiran jarak jauh yang baik dan mempunyai kekuatan menyerang musuh yang tinggi," ujarnya lagi.

Pharsha

Pharsa merupakan karakter kegemaran Mann dalam Mobile Legends. — Facebook



Atlet berusia 22 tahun itu mula bermain Mobile Legends pada 2019 dan mula serius menceburi bidang e-sukan selepas melihat ia boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan selain mengisi masa lapang.

Pencapaian terbaik atlet berasal dari Pulau Pinang itu adalah mendapat tempat ketiga dalam kejohanan Mobile Legends: Bang Bang Professional League MY (MPL MY) musim kelapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram