Bintang Brazil buat Muhammad Faid 'tergoda'


  • eSports
  • Sabtu, 19 Feb 2022

MUHAMMAD Faid pernah menjuarai beberapa kejohanan besar tempatan. — Ihsan Muhammad Faid

PEMAIN bintang bola sepak Paris Saint-Germain (PSG) dan Brazil, Neymar menjadi pilihan atlet e-sukan ini ketika bermain permainan video FIFA 22.

Menurut Muhammad Faid Mohd Said, 23, Neymar merupakan pilihan utama kerana karakternya yang memiliki kemahiran menggelecek yang tinggi dan boleh menggunakan kedua-dua belah kaki.

"Kita sedia maklum kemampuan Neymar di atas padang dan itu menjadi salah satu faktor mengapa saya gemar menggunakan dia dalam FIFA 22.

"Tambahan pula, Neymar sesuai dengan strategi serta taktikal yang digunakan oleh saya dalam permainan video berkenaan," katanya kepada Majoriti.

Screenshot 2022-02-18 091858

NEYMAR mempunyai kemahiran menggelecek dan boleh menggunakan kedua-dua belah kaki. — Facebook

Untuk rekod, Muhammad Faid mula bermain FIFA secara kompetitif sejak 2018.

Antara pencapaian terbaiknya dalam arena e-sukan adalah menjuarai kejohanan Nivea Men E-MY Padang pada 2019 dan 2021.

Berkongsi tentang kelebihan bermain FIFA, atlet pasukan Team Haq itu menyatakan permainan video tersebut mampu membentuk kemahiran berfikir individu dengan lebih cepat serta meningkatkan tindak balas dalam melakukan sesuatu tindakan.

"Selain itu, salah satu tip yang saya amalkan ketika bermain FIFA adalah sentiasa positif dan percaya pada diri sendiri dalam apa jua situasi dan paling penting, jangan cepat mengalah," ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Faid meletakkan sasaran untuk layak bermain ke kejohanan FIFA pada tahun ini selain menjuarai kejohanan besar tempatan seperti e-MFL Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram