KEJOHANAN e-sukan terbesar di negeri Johor, Festival E-sukan Johor (JEF22) bakal membuka tirainya 22 Mac ini dengan menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM86,000.
Kira-kira 1,500 atlet e-sukan bakal memeriahkan kejohanan itu menerusi tiga permainan video yang dipertandingkan iaitu FIFA22, Mobile Legends Bang Bang (MLBB) dan PlayerUnknowns Battlegrounds (PUBG) Mobile.
Ia dianjurkan oleh Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) melalui anak syarikatnya, Sports Johor Sdn Bhd (SJSB) sebagai kejohanan terbesar e-sukan di Johor.
Pengurus Besar SJSB, Mohd Johari Tarmizi berkata, Penganjuran JEF22 bakal memberi peluang buat Johor untuk mempromosi dan mempersiapkan diri sebagai hab e-sukan di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Objektif utama mempromosikan e-sukan adalah untuk membangunkan platform yang kompetitif kepada semua atlet e-sukan di Johor.
“Festival yang julung kali diadakan ini mempunyai tiga peringkat bagi tiga permainan berbeza dan akan menjadikan ia acara tahunan terbesar di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekuti KPRJ, Lukman Abu Bakar berkata, kejohanan itu bakal menyediakan platform yang kompetitif untuk pasukan dan atlet e-sukan, sekali gus dapat melahirkan sekurang-kurangnya lima pemain secara konsisten dari setiap liga untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa dalam tempoh dua tahun.
“JEF22 juga mampu memberi peluang kepada komuniti e-sukan di Johor untuk melibatkan diri dalam penganjuran acara bukan sahaja sebagai sukarelawan tetapi juga membuka peluang pekerjaan dengan sekurang-kurangnya satu pekerjaan baharu sepenuh masa setiap tahun melalui penganjuran festival ini.
“Kejohanan ini juga membuka peluang perniagaan kepada ahli persatuan daripada studio permainan video, syarikat pengurusan acara dan entiti perniagaan lain dengan sasaran perkongsian keuntungan 70 peratus, manakala baki 30 peratus lagi disalurkan kepada Dana Pembangunan E-sukan Persatuan,” kata beliau.
Peringkat pertama JEF22 bermula dengan kelayakan secara dalam talian bermula 22 Mac ini, diikuti peringkat kedua pada 22 Mei dan peringkat ketiga bakal diadakan pada 22 Julai.
Ini merangkumi 32 pasukan atau atlet daripada setiap peringkat untuk melayakkan diri bagi menguji kehebatan masing-masing di peringkat Grand Final pada 22 September 2022.
Peserta yang layak ke Grand Final pula akan bertembung dengan 32 pasukan atau atlet jemputan di Arena Larkin untuk memburu kejuaraan sulung kejohanan ini.
Juara bagi setiap peringkat masing-masing akan membawa pulang hadiah bernilai RM3,000 (FIFA22), RM1,500 (MLBB) dan RM1,500 (PUBG Mobile), manakala hadiah terkumpul untuk Grand Final ialah RM50,000.
Johan Grand Final FIFA22 pula akan membawa pulang RM10,000 manakala bagi MLBB serta PUBG Mobile pula adalah masing-masing RM8,000.
Sports Johor meletakkan sasaran sebanyak 300,000 penonton secara atas talian akan menyaksikan kejohanan yang julung kali diadakan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram