KONFLIK Rusia dan Ukraine yang bermula sejak Februari lalu sehingga kini masih tidak menemukan 'jalan keluar'.
Kemelut tersebut menyebabkan kira-kira sejuta penduduk terpaksa melarikan diri dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 9,000 orang terkorban itu.
Susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, banyak pihak mengenakan pelbagai sekatan terhadap Kremlin, bukan sahaja dari sudut ekonomi malahan juga bidang sukan.
Malahan Ukraine sendiri mendesak agar keseluruhan syarikat pembangun permainan video dan platform e-sukan menyekat apa juga berkaitan dengan Rusia.
Menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Mykhailo Fedorov di laman Twitter baru-baru ini, beliau memohon semua pihak yang terbabit menyekat akaun para pemain permainan video Rusia dan Belarus buat sementara waktu.
Selain itu, beliau juga menggesa pasukan Rusia dan Belarus disekat daripada menyertai sebarang kejohanan e-sukan antarabangsa dan membatalkan semua acara antarabangsa di kedua-dua negara tersebut.
Jelasnya, tindakan sedemikian akan memberi motivasi kepada penduduk Rusia untuk bersama-sama menghentikan pencerobohan Kremlin ke atas Ukraine.
Terdahulu, syarikat penerbit permainan video FIFA, Electronic Arts (EA) membuang semua kelab dan negara Rusia daripada permainan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram