PEMINAT Terengganu FC (TFC) nampaknya terpaksa menunggu lebih lama bagi menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi apabila perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Rabu terpaksa ditunda.
Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, penundaan itu terpaksa dilakukan berikutan 15 pemain dan pegawai NSFC disahkan positif Covid-19.
Perlawanan itu sepatutnya berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, Terengganu dengan sepak mula dijadualkan pada 8.15 malam.
Tambah kenyataan itu, aksi pusingan pertama Piala FA 2022 pada 13 Mac ini yang turut mempertemukan kedua-dua pasukan itu juga terpaksa ditunda ke tarikh baharu.
"MFL ingin menzahirkan rasa simpati kepada barisan pemain dan pegawai NSFC yang disahkan positif Covid-19 dan semoga mereka akan kembali sembuh," menurut kenyataan itu.
Ini merupakan perlawanan kedua TFC musim ini yang terpaksa ditunda akibat lawannya dijangkiti Covid-19.
Terdahulu, perlawanan pembukaan liga TFC menentang Sri Pahang pada 5 Mac lalu terpaksa ditunda berikutan beberapa pemain Tok Gajah dijangkiti Covid-19. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram