KEMENANGAN Kelantan FC ke atas Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dalam aksi pembukaan Liga Premier dengan keputusan 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor pada Sabtu menggembirakan para peminat The Red Warriors.
Kelantan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila pemain import, Natanael Siringo Ringo menjaringkan gol pertama pada minit ketujuh.
Pemain gantian JDT II, Daryl Sham kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-74.
Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, pemain gantian Kelantan FC, Jasmir Mehat muncul wira pasukan itu apabila menyumbat gol kemenangan pada minit akhir permainan.
Kemenangan tersebut memberi kelegaan kepada para penyokong dan ada antaranya sudah memasang niat mahu melihat pasukan tersebut layak ke Liga Super pada musim 2023.
"Good game, ada harapan ke Liga Super. Syarat kena kekalkan dan tingkatkan prestasi hingga habis liga," ujar pengguna Facebook, Periuk Belanga.
"Game masih awal lagi. Banyak lagi yang perlu direncakan oleh coach Rezal Zambery Yahya. Apa-apa pun, kemenangan game malam ini (Sabtu) menjadi tonik untuk dua game seterusnya," ujar seorang lagi pengguna Facebook, Mohd Firdaus Yusoff.
Bagi pengguna Facebook, En Wady, masih banyak perlu dipertingkatkan oleh para pemain Kelantan FC.
"Perlu tingkatkan lagi dari segi kawalan bola dan create lebih peluang untuk penyerang.
"Nampak masih ada beza lagi dengan team Liga Super terutama akan bertemu dengan PJ City dalam Piala FA nanti, teruskan usaha," menurutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram