'Main batal last minute tak fikir duit peminat hangus'


TARIKH pindaan bagi kesemua perlawanan yang ditunda akan dimaklumkan kelak. — MFL

BEBERAPA perlawanan Liga Super dan Liga Premier yang dijadualkan berlangsung minggu ini terpaksa ditunda selepas terdapat pemain dan pegawai pasukan dijangkiti Covid-19.

Perkara itu diumumkan penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) pada Jumaat setelah menerima permohonan dan pengesahan dari tiga pasukan, iaitu Sri Pahang FC, Perak FC dan UiTM FC.

Namun, pembatalan pada saat akhir itu jelas mengecewakan peminat yang sudah membuat persiapan untuk menyaksikan pasukan mereka beraksi.

Salah seorang peminat Terengganu FC, Maza Abdullah meluahkan kekecewaannya di Facebook selepas menanggung kerugian akibat pembatalan tersebut.

“Batalkan liga biar team menangis tak berlagu, main batal last minute tak fikir duit peminat hangus... duit minyak, duit hotel dan makan minum.

"MFL patut beritahu secara rasmi lebih awal, tidaklah peminat dah pergi baru tahu... berita di hujung jari,” katanya pada Jumaat.

Terengganu FC dijadualkan bertemu Sri Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Sabtu.

Turut dibatalkan adalah perlawanan Liga Premier antara Perak FC menentang Kelantan United FC, selain aksi antara Terengganu FC II menentang UiTM FC, juga pada Sabtu.

Selain itu, perlawanan Liga Super antara Selangor FC dan Sri Pahang FC yang dijadualkan pada 8 Mac juga terpaksa dibatalkan.

Menurut MFL, tarikh pindaan bagi kesemua perlawanan berkenaan akan dimaklumkan kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram