PERSIAPAN menghadapi musim baharu Liga Malaysia (Liga M) nampaknya serba tidak kena bagi pasukan Perak FC apabila pelbagai masalah menghantui kelab dalam beberapa bulan kebelakangan ini termasuk isu tunggakan gaji, larangan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan juga masalah kecederaan pemain skuad utama.
Perkara itu menyebabkan ramai penyokong The Bos Gaurus bimbang dengan nasib pasukan kesayangan mereka dan risau sekiranya kelab terpaksa menarik diri daripada bertanding.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah berkata, beliau sedar akan kebimbangan yang dirasai penyokong dan memberi jaminan pihaknya sedang melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan Perak FC.
"Kerisauan penyokong ini ada dasarnya, mereka berhak untuk berasa risau terhadap pasukan. Kami di pihak pengurusan juga risau akan keadaan Perak FC tetapi ia bukanlah satu penghalang untuk kami meneruskan perjuangan... sekali-sekala kita pasti jatuh tetapi kita kena bangkit serta-merta.
"Jika dilihat dari sudut positif, kerisauan mereka adalah satu pertanda yang baik kerana ini menunjukkan penyokong Perak FC setia bersama pasukan dan masih sayang, masih kisah akan pasukan ini.
"Malah saya akan berasa risau jika penyokong tiba-tiba senyap di media sosial... saya akan tertanya-tanya mereka dah tak kisah ke pasal kelab ni, jadi teruskan berkongsi kerisauan anda kepada kami," katanya kepada Majoriti.
Beliau turut berharap kerisauan penyokong dapat diterjemahkan dalam bentuk sokongan terhadap Perak FC sepanjang saingan Liga Premier musim ini.
Dalam pada itu, bercakap mengenai laporan yang mengatakan empat pemain mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL), beliau berkata, kesemua pemain berkenaan sudah mengalami kecederaan itu sejak setahun lalu dan kini sedang menjalani fasa pemulihan.
Malah, katanya, ada beberapa pemain yang sudah memulakan latihan bersama pasukan dan perkara itu tidak menghalang pasukan untuk terus bertanding.
"Kami sedar akan situasi ini dan pasukan teknikal akan merencanakan satu perancangan untuk mengatasi masalah ini memandangkan kita hanya mendaftarkan 20 orang pemain.
"Mungkin dari segi latihan akan berubah supaya menggunakan kaedah latihan yang mengurangkan kemungkinan untuk mendapatkan kecederaan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram