Gagal skor penalti, Kim Swee pertahan Pessoa


  • Podium
  • Sabtu, 05 Mac 2022

PESSOA (tengah) gagal memanfaatkan deretan peluang hingga menyebabkan Sabah tewas dalam perlawanan Liga Super pada malam Jumaat. — Facebook

PENYERANG import dari Brazil iaitu Neto Pessoa perlu diberi ruang untuk memperbaiki permainan, terutama daripada segi penyudah bagi memastikan penyerang berusia 27 itu mampu beraksi cemerlang secara konsisten untuk Sabah FC musim ini.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memahami penyokong Sabah kecewa, apabila Pessoa dan pasukan itu gagal memanfaatkan deretan peluang sehingga tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan FC dalam perlawanan Liga Super malam tadi, namun The Rhinos perlu terus fokus meningkatkan prestasi mereka.

"Ini baru perlawanan pertama, Neto (Pessoa) dalam perlawanan persahabatan mampu jaringkan gol, saya tahu ramai yang kecewa terutama sepakan penalti beliau, tetapi bagi peluang kepada beliau dua tiga perlawanan lagi untuk buktikan, dan saya percaya beliau mampu jadi penjaring pasukan kita.

"Sudah tentu ini keputusan mengecewakan, tetapi kita harus siap sedia kembali dalam masa empat hari lagi sebelum bermain dengan PJ City FC,” katanya pada sidang media selepas perlawanan Liga Super di Stadium Likas di Kota Kinabalu pada malam Jumaat.

Kim Swee berkata, masih terlalu awal untuk menilai pemain yang akan diturunkan menentang PJ City dalam perlawanan Liga Super pada Rabu (9 Mac) ini.

Katanya, faktor seperti kecergasan, kecederaan, dan corak permainan perlu dinilai, sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

Dalam perlawanan pada malam Jumaat, Sabah mendapat peluang terbaik untuk mencipta gol apabila pengadil Zulkarnain Zakaria menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-47, selepas Pessoa dikasari penjaga gawang Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dalam kotak penalti, namun sepakan Pessoa diselamatkan Ahmad Syihan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, K.Devan memberi pujian kepada penjaga gol Ahmad Syihan yang beraksi cemerlang menyelamatkan deretan percubaan pemain Sabah FC termasuk sepakan penalti.

"Kemenangan tiga mata yang kita tidak sangka, dapat satu mata pun sebenarnya kita puas hati...kita bernasib baik malam ini.

"Tetapi pujian harus diberikan kepada pasukan saya yang mampu bertahan dengan baik sepanjang 90 minit, dan komitmen serta kerja keras pemain perlu dipuji,” katanya.

Negeri Sembilan bakal berdepan Terengganu FC dalam perlawanan Liga Super pada Rabu ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram