SAINGAN Liga Super musim 2021 menyaksikan Sabah FC hanya dipisahkan dengan tiga mata untuk berdepan penyingkiran ke Liga Premier.
Susulan itu, Sabah FC enggan mengulangi prestasi musim lalu dan dilihat aktif ketika jendela perpindahan musim 2022.
Beberapa muka baharu dibawa masuk seperti Baddrol Bakhtiar, Khairul Fahmi Che Mat, Irfan Fazail, Stuart Wilkin dan Rizal Ghazali memperkukuhkan skuad sedia ada.
Sabah FC juga mendapatkan khidmat pemain Jepun, Taiki Kagayama serta dua pemain Brazil, Neto Pessoa dan Jackson De Souza pada musim 2022 selain Saddil Ramdani kekal bersama Sang Badak.
Menurut ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, sasaran tempat kelima teratas mahu dicapai oleh pasukannya pada musim baharu Liga Super.
"Musim baru bermula dan bagi pasukan Sabah, konsistensi merupakan perkara penting dalam mengharungi liga yang pasti mencabar namun kami ingin meletakkan sasaran agar mencapai objektif seperti ditetapkan sebelum ini.
"Selain tempat kelima, kami juga meletakkan sasaran untuk melangkah ke peringkat tertinggi dalam semua piala yang disertai," katanya kepada Majoriti.
Menjelang pertemuan pertama Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Jumaat, beliau berkata, Sabah FC akan bermain dengan kekuatan tersendiri.
"Kami akan berusaha memastikan gawang kami tidak dibolosi.
"NSFC membuktikan mereka merupakan pasukan paling konsistem walaupun bermain dalam Liga Premier sebelum ini.
"Pengalaman yang dimiliki oleh K Devan dalam saingan Liga Malaysia tidak boleh dipandang rendah serta pemain yang majoritinya adalah daripada musim lalu memberi banyak kelebihan kepada pasukan berkenaan," ujarnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram