Sejauh mana kuasa pemain patut diberikan?


  • Podium
  • Isnin, 28 Feb 2022

SISTEM latihan Ralf Rangnick didakwa kuno oleh kebanyakan pemain Man United. — Reuters

TERMA 'kuasa pemain' sering disalah erti dalam dunia bola sepak dunia.

Frasa itu tidak pernah digunakan secara positif dan sering merujuk kepada pemain yang berkelakuan kurang baik, memberontak dan memandang tinggi kepentingan diri mereka sendiri.

Namun, ramai lupa bahawa bola sepak secara asasnya berbalik kepada pemain.

Terdapat dua 'versi' yang dikaitkan dengan 'kuasa pemain'.

Versi yang pertama adalah kuasa pemain untuk berpindah kelab terutamanya selepas perpindahan Bosman dilaksanakan di Eropah pada pertengahan 1990-an.

Perpindahan Bosman membolehkan seseorang pemain berpindah kelab lain sebaik kontraknya bersama kelab sebelum ini tamat, tanpa membayar satu sen.

Bentuk kuasa pemain yang kedua adalah kolektif, sebagai contoh para pemain mempunyai terlalu banyak kuasa di bilik persalinan.

Contoh paling relevan adalah Manchester United yang dikatakan mempunyai masalah 'kuasa pemain' sehingga menyumbang kepada prestasi kurang baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Perkara itu dilihat bercanggah dengan kritikan lain, bahawa kelab itu sebenarnya kekurangan pemimpin.

Idea bahawa Man United mempunyai isu dengan kuasa pemain sering diperkatakan oleh bekas pemain kelab berkenaan, terutamanya sewaktu Ole Gunnar Solskjaer membimbing The Red Devils.

Perkara mungkin berubah sedikit sejak kedatangan Cristiano Ronaldo tetapi masalah Man United dalam beberapa musim kebelakangan ini sebenarnya bukan kuasa pemain tetapi 'kuasa bekas pemain'.

Sebelum ini, bekas pengurus Man United, Jose Mourinho pernah mengkritik masalah kuasa pemain.

"Dalam bola sepak moden, terdapat masalah antara jurulatih dan pemain.

"Kita bukan lagi berada di era di mana jurulatih memiliki kuasa penuh untuk berdepan dan mempunyai hubungan pendidikan serta kadang-kala konfrontasi dengan pemain yang tidak profesional," ujarnya.

Screenshot 2022-02-27 135019

KEHADIRAN Ronaldo (kanan) meredakan seketika kritikan bekas pemain terhadap kuasa pemain dalam bilik persalinan Man United. — Reuters

Secara asasnya, tiada penyokong yang benar-benar selesa dengan konsep kuasa pengurusan tidak terkawal.

Laporan media antarabangsa baru-baru ini mendakwa pemain Man United kurang gembira dengan sesi latihan 'kuno' Ralf Rangnick.

Bagaimanapun, situasi itu sememangnya munasabah kerana Rangnick yang tidak melatih kelab dalam tempoh beberapa tahun, hilang sentuhannya.

Perkara tersebut munasabah bagi pemain yang bermain di peringkat tertinggi dan mengenalpasti masalah berkenaan.

Para pemain Man United turut dikritik apabila wujud dakwaan mereka lebih berminat Mauricio Pochettino dilantik sebagai pengurus kelab itu musim depan.

Ada pihak mengatakan para pemain tidak sepatutnya mencampuri urusan pelantikan pengurusan.

Namun mengapa tidak? Adalah pemain bola sepak bertaraf dunia tidak layak mendapat pengaruh? Lebih-lebih lagi dalam sebuah kelab dikawal oleh si polan yang hanya melihat sukan itu sebagai satu bentuk perniagaan.

Tidak mustahil untuk para pemain yang diwakili oleh kapten kelab untuk memberi pandangan berhubung pelantikan pengurus baharu.

Jika Wolves, West Ham atau Liverpool mahu melantik pengurus baharu, pemain seperti Conor Coady, Jordan Henderson atau Mark Noble boleh terlibat dalam proses berkenaan.

Kesimpulannya, wujud sikap angkuh terhadap pemain bola sepak, mungkin disebabkan faktor latar belakang atau tahap kecerdasan mereka yang mencetuskan stigma bahawa mereka tidak sepatutnya mempunyai pengaruh besar.

Sekiranya masalah bola sepak adalah kuasa pemain, semua pihak perlu memikirkan kembali kepada siapa kuasa itu perlu diberikan.

Bola sepak adalah tentang pemain, berikan lebih kuasa kepada mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram