RENTETAN kritikan pedas bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), badan bola sepak negara itu tampil dengan jawapan balas menerusi presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Pada 29 Disember lalu, Teong Kim dalam pandangannya yang disiarkan menerusi portal Majoriti, mengkritik Hamidin serta kepimpinan FAM ekoran kekalahan Malaysia dalam kempen Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura awal bulan lepas.
Kritikannya itu meliputi segenap sudut bola sepak negara termasuk soal pembangunan akar umbi, pemilihan pemain, ketua jurulatih, isu 'tangan ghaib' dan kepimpinan FAM.
Bagaimanapun atas tuntutan FAM, Majoriti memadamkan artikel tersebut yang bertajuk 'Presiden FAM 'membunuh' bola sepak Malaysia — Teong Kim' selepas dikatakan sebagai tidak tepat dan mencemar reputasi Hamidin dan kepimpinannya.
Ikuti penjelasan eksklusif Presiden FAM terhadap semua dakwaan Teong Kim bersama Majoriti.
TEONG Kim lantang mengkritik FAM menerusi artikel 'Presiden FAM 'membunuh bola sepak Malaysia'.
Isu 'tangan ghaib'
Menjawab dakwaan Teong Kim tentang wujudnya campur tangan FAM dalam pengurusan skuad Harimau Malaya, Hamidin berkata persepsi bahawa ada tangan ghaib tidak betul, tetapi perbincangan diadakan dengan semua pengurus atau jurulatih pasukan untuk menamakan pemain ke dalam skuad disebabkan falsafah penggiliran dan komitmen kelab di pentas Asia.
Jelasnya, ketika Tan Cheng Hoe dilantik pada Disember 2017 menggantikan Nelo Vingada, (sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya) beliau masih merupakan Setiausaha Agung FAM.
Tambahnya, selepas menjadi presiden pada Julai 2018, beliau tidak pernah campur tangan dalam sebarang urusan pemilihan skuad pemain kendalian Cheng Hoe.
"Cuma nama-nama dalam senarai ke pentas antarabangsa dikemukakan kepada jawatankuasa pengurusan pasukan kebangsaan dan diperhalusi oleh ahli jawatankuasa yang ada latar belakang pengurusan dan teknikal. Di situ beberapa cadangan diambil kira.
"Hanya satu projek naturalisasi dibuat oleh FAM. Sumareh dinaturalisasikan oleh Pahang kerana beliau sudah bermastautin di Malaysia sejak remaja, manakala hanya dua individu didapati memenuhi semua syarat undang-undang imigresen Malaysia dan syarat-syarat pemastautin lima tahun berturut-turut yang ditetapkan oleh FIFA, iaitu Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula.
"Projek Naturalisasi dicetuskan bagi memberi nilai tambah kepada pasukan kebangsaan, dengan niat bersaing secara kompetitif untuk mencerahkan peluang layak ke pusingan akhir Piala Asia AFC. Selama 40 tahun, Malaysia hanya layak sebagai tuan rumah pada 2007, selepas layak ke pusingan akhir di bawah format lama pada 1976 dan 1980.
"Memang betul risikonya adalah jalan pintas yang diambil tetapi niatnya bertujuan memberi nilai tambah untuk melonjakkan standard pasukan kebangsaan. Pada masa ini FAM sudah memutuskan untuk menangguhkan projek ini," kata Hamidin.
ISU pemain import antara yang dibangkitkan Teong Kim.
Kuota pemain import
Mengulas tentang isu kuota pemain import, FAM akan berbincang dengan pengendali Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) kerana sebarang penambahan atau pengurangan perlu dikuatkuasakan selepas mengkaji semua aspek termasuk kontrak dan kemampuan kewangan pasukan.
Hamidin menjelaskan, sebelum Liga Semi Pro dilancarkan pada 1989, ada beberapa pemain import seperti Fandi Ahmad, Malek Awab, R. Suriamurthi dan Terry Pathmanathan bermain untuk Kuala Lumpur dan Pahang pada awal 1980-an.
Katanya, FAM kemudian pernah melarang penggunaan pemain import pada 2000 sebelum lagi melarang penggunaan pemain import pada 2008.
"Pada 2012, FAM membuka semula pintu kepada pemain import, dengan satu kuota pemain dari Asean.
"Apabila FMLLP dan MFL mengambil alih pengendalian liga bermula 2015, kuota ditambah terkini kepada lima pemain import dengan pecahan tiga pemain import, satu dari Asia dan satu dari Asean.
"Ia juga mengambil kira keperluan pasukan kelab dari negara kita untuk bersaing di pertandingan Piala AFC dan Liga Juara-Juara Asia," katanya.
Main golf?
Teong Kim dalam kritikannya sebelum ini mendedahkan Peter De Roo membuang masa bermain golf ketika bergelar Pengarah Teknikal FAM kerana tidak diberi ruang untuk membuat keputusan.
Bagaimanapun Hamidin menafikan dakwaan tersebut dengan berkata bahawa De Roo memainkan peranan mengetuai pasukan yang menyertai sesi percambahan idea untuk mencetuskan Cara Malaysia iaitu DNA Bola Sepak Malaysia mengikut trend bola sepak moden.
Selain itu katanya, De Roo juga menganjurkan Sidang Kemuncak Pengarah Teknikal seluruh negara dan melakukan Roadshow bagi menjelaskan DNA Malaysia kepada semua pemegang taruh.
Jelasnya, falsafah tersebut bukan baharu dan bersifat universal tetapi disesuaikan dengan keadaan bola sepak tempatan.
"De Roo tidak bermain golf 24 jam. Laporan FIFA mengiktiraf De Roo sebagai watak utama dalam mewujudkan DNA Malaysia. (Malah) Dakwaan bahawa FIFA memberi peruntukan gaji Pengarah Teknikal AS$50,000 sebulan juga adalah tidak benar sama sekali," katanya.
HAMIDIN melancarkan Buku Pelancaran Majlis DNA Bola Sepak Malaysia bersama Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Subahan Kamal (kanan) dan Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo (tengah).
DNA bola sepak Malaysia
Menurut Hamidin, DNA Bola Sepak Malaysia yang dilancarkan secara rasmi pada 2019, adalah manifestasi falsafah bola sepak negara yang turut merangkumi sistem kejurulatihan yang seragam merentasi semua peringkat umur, dari peringkat akar umbi hingga elit.
Jelasnya, DNA Bola Sepak Malaysia yang juga dipanggil “The Malaysian Way” atau Cara Malaysia, harus menjadi garis panduan dan rujukan kepada pemain, jurulatih dan tenaga pengajar jurulatih dari peringkat bawah hingga ke peringkat tertinggi.
"Kajian mengenai DNA Bola Sepak ini diketuai oleh Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo seawal Oktober 2017 dan ia merangkumi kaedah permainan yang menitik beratkan etika kerja sepasukan, dengan menyerang secara teratur dan bertahan secara berpasukan.
"Secara umumnya, DNA bola sepak Malaysia adalah petunjuk kepada semua pihak bagaimana untuk bermain dengan corak permainan yang sama dan seragam, dari peringkat paling bawah hingga ke peringkat senior.
"Sasaran kita ialah melahirkan pemain yang benar-benar bermain cara DNA Malaysia pada 2030 sejajar kemuncak peta Hala Tuju F:30. DNA Bola Sepak Malaysia juga diiktiraf oleh laporan teknikal FIFA sebagai strategi bertulis di peringkat pembangunan.
CHENG Hoe memilih untuk membawa senarai 24 pemain ke saingan Piala AFF Suzuki di Singapura.
Isu 24 pemain
Kegagalan Malaysia dalam kempen Piala AFF Suzuki baru-baru ini menjadi kemuncak kemarahan penyokong tegar Harimau Malaya sehingga berbangkitnya isu pemilihan pemain.
Rata-rata penyokong mempersoalkan jumlah pemain yang dibawa ke Singapura dan perkara itu turut dibangkitkan Teong Kim dalam kritikannya.
Mengulas lanjut isu ini, Hamidin berkata, pada 17 November 2021, FAM mengumumkan memanggil 28 pemain untuk latihan pusat, dengan tiga lagi pemain dalam senarai menunggu.
Kemudian katanya, tarikh tutup pendaftaran pemain untuk Piala AFF Suzuki 2020 ialah pada 24 November 2021 bagi mematuhi peraturan kebenaran masuk Kerajaan Singapura.
Jelasnya FAM telah menyenaraikan 30 pemain dan 15 pegawai pada tarikh akhir berkenaan membabitkan empat penjaga gol iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Khairulazhan Khalid, Kalamullah Hafiz Mat Rowi, Azri Ghani.
Bagi pemain pertahanan, katanya, FAM menyenaraikan Putera Nadher@Junior Eldstal, Aidil Zafuan Abd Radzak,
Shahrul Saad, Rizal Ghazali, Syahmi Safari, Dominic Tan Jun Jin, Dion Johan Cools, Muhammad Ariff Farhan Md Isa, Quentin Cheng, Arif Fadzilah.
Katanya, di posisi tengah pula dibarisi Baddrol Bakhtiar, Akram Mahinan, Faisal Halim, R. Kogileswaran, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, Kenny Pallraj, Mukhairi Ajmal, Fayyadh Zulkifli.
Manakala senarai penyerang adalah Guilherme de Paula, Mohamadou Sumareh, Luqman Hakim Shamsudin, Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid, Shahrel Fikri, Darren Lok.
BARISAN pemain Harimau Malaya dan pegawai FAM ke Singapura.
"Dalam keadaan Piala Malaysia sedang rancak menuju ke penghujung, pihak pengurusan pasukan kebangsaan menyenaraikan pemain mengikut tarikh pendaftaran AFF dan kerajaan Singapura walaupun menyedari berdepan risiko kecederaan terhadap pemain.
"MFL mengatur jadual selepas mengambil kira beberapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta memenuhi keperluan rakan penaja untuk pulangan atas pelaburan.
"Jadual Piala AFF Suzuki pula asalnya diadakan pada Mac, ditangguhkan kepada Jun, kemudian Ogos dan akhirnya Disember. Ini menjejaskan perancangan jadual liga.
"Kesudahannya, Darren Lok, Akram Mahinan, Kenny Pallraj dan Azri mengalami kecederaan manakala Sumareh menarik diri akibat masalah keluarga.
"Selepas ditolak nama lima pemain di atas, ini menjadikan hanya 25 pemain sebenarnya yang tinggal dalam senarai 30 pemain itu yang boleh dibawa ke Singapura tetapi Cheng Hoe hanya membawa 24 pemain yang mana disebabkan posisi sayap atau penyerang sudah mencukupi, Fayadh Zulkifli tidak dibawa ke Singapura.
"Pemain yang didaftarkan melepasi tarikh pendaftaran (jika ia turut dilakukan oleh FAM) berdepan risiko dilarang memasuki Singapura.
"Sebagai contoh, pemain Vietnam, Do Hung Vunh, dihantar pulang kerana namanya hanya didaftarkan pada 29 November 2021, lima hari selepas tarikh tutup pendaftaran.
"Berikutan berlakunya kes Covid-19 dalam kem pasukan negara selepas tiba di Singapura, FAM memohon penganjur untuk menyenaraikan Samuel Somerville sebagai pengganti Khairulazhan Khalid yang menjalani kuarantin 10 hari akibat kontak rapat tetapi akhirnya pengurusan memutuskan mengekalkan Khairulazhan dalam skuad," katanya.
FAM tampil dengan pelan jangka panjang F:30 bagi pembangunan bola sepak Malaysia.
F:30 dan Presiden tiada misi
Hamidin berkata, F:30 adalah garis panduan yang menggariskan elemen-elemen dari segi tadbir urus, dasar-dasar pembangunan, tadbir urus, pertandingan, pendidikan kejurulatihan, pembangunan modal insan sama ada bola sepak wanita, futsal dan bola sepak pantai.
Katanya, peta hala tuju dengan tempoh 12 tahun itu dibahagi kepada tiga pelan strategik, iaitu fasa pertama dari tahun 2019 hingga 2022 untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan, disusuli fasa kedua (2023-2026) mencapai peringkat Asia, disudahi fasa ketiga (2027-2030) bertujuan melahirkan sebuah pasukan kebangsaan yang mencecah taraf dunia.
"Dalam laporan FIFA bertujuan Meningkatkan Tahap Kompetitif Global ahli gabungannya yang bertajuk Satu Analisis Ekosistem Pembangunan Bakat dikeluarkan September 2021, badan induk dunia itu mengiktiraf F:30 sebagai strategi jangka masa panjang dalam menentukan hala tuju bola sepak negara dengan menyifatkan dokumen F:30 dan DNA Bola Sepak Malaysia sebagai dokumen berkualiti tinggi.
"Ini menunjukkan bahawa FAM mempunyai visi dan misi yang berada pada landasan yang betul.
"Pelan F:30 telah dilancarkan oleh FAM pada 31 Oktober 2018 di Kuala Lumpur yang mana sejak FAM ditubuhkan, saya menjadi presiden pertama yang menyiarkan visi dan misi FAM kepada umum.
"Ini risiko yang tidak pernah diambil oleh mana-mana Presiden FAM sebelum ini," katanya.
PELAN SupaRimau tergendala akibat pandemik Covid-19.
Perancangan 2020-2021
Hamidin berkata, FAM telah melakukan beberapa perancangan di sepanjang 2020 dan 2021 berkaitan pasukan kebangsaan, pertandingan liga domestik termasuk Piala Presiden dan Piala Belia dan juga program-program peringkat akar umbi.
Tetapi malangnya kata Hamidin, dengan beberapa syarat-syarat ketat yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk sekatan perjalanan antarabangsa dan juga antara negeri, ia terpaksa dibatalkan kecuali saingan Liga Super dan Liga Premier apabila KBS dan MKN membenarkan liga diadakan semula tertakluk kepada beberapa syarat dan SOP.
Namun katanya, beberapa pencapaian telah pun berjaya dicatat dalam perancangan F:30 terutama sebelum Covid-19 termasuk pelancaran DNA Bola Sepak Malaysia dan Piagam SupaRimau FAM, memenangi AFC Dream Awards 2018 (Developing - Gold) dan 2019 (Inspiring -Bronze), menerima penarafan dua bintang AFC Elite Youth Scheme, Bronze membership AFC Grassroots Charter, MoU dengan Japan FA serta penstrukturan pertandingan liga domestik - Piala Presiden, Piala Belia dan PTSR.
Jelasnya setakat hujung 2021, F:30 telah mencapai 59% daripada sasaran bagi fasa pertama (2019-2022) yang mana peratusan tersebut sepatutnya lebih tinggi tetapi banyak program dan aktiviti tergendala ekoran Covid19 melanda sepanjang 2020 dan juga 2021, selain kekangan kewangan kesan daripada pandemik tersebut.
Sebagai perbandingan, pencapaian dari 2019 hingga suku pertama 2020 telah mencapai 47% tetapi selepas itu sehingga hujung 2021 (sepanjang tempoh pandemik), pertambahan peratusan hanya mencatat sebanyak 12%.
"Ramai lupa pasukan negara berada di kemuncak prestasi dalam tempoh September-November 2019, dengan kekalahan tipis 2-1 kepada UAE tetapi mencatat kemenangan ke atas Thailand dan Indonesia.
"Apabila Covid-19 menyerang, semua aktiviti bola sepak tempatan turut terjejas. Untuk musim 2020, Piala Malaysia turut dibatalkan.
"Tiada satu pun perlawanan antarabangsa membabitkan Harimau Malaya. Perlawanan kompetitif Harimau Malaya yang pertama sejak November 2019 atau 550 hari ialah ketika tewas kepada Kuwait 4-1 di Dubai pada 23 Mei 2021, disusuli kekalahan kepada Bahrain menjelang kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang UAE, Vietnam dan Thailand," katanya.
HARIMAU Muda menjuarai Piala AFF Suzuki 2018 selepas menewaskan Myanmar.
Pencapaian Hamidin
Dalam tempoh empat tahun bergelar Presiden FAM sejak 2018, Hamidin mencatat beberapa kejayaan yang mengharumkan nama Harimau Malaya.
Berikut adalah senarai kejayaan beliau:
2018:
Juara Kejuaraan B-19 AFF 2018 di Surabaya
Tempat Ke-3 Kejuaraan B-16 AFF 2018 di Surabaya
Naib Juara Kejuaraan Futsal AFF 2018 di Yogyakarta
Tempat Ke-3 Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFF 2018 di Bali
Naib Juara Piala Suzuki AFF 2018
2019:
Suku Akhir Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFC 2019 di Pattaya
Juara Kejuaraan B-15 AFF 2019 di Chonburi
Naib Juara Kejuaraan B-18 AFF 2019 di Ho Chi Minh City
Layak ke Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020
Skuad Harimau Malaya merekodkan 9 kemenangan dalam keseluruhan
13 perlawanan sepanjang tahun 2019, peningkatan sebanyak 13 anak
tangga dalam ranking dunia, daripada kedudukan ke-167 pada Februari
melonjak ke posisi ke-154 pada Disember.
2020:
Tiada pertandingan
2021:
Layak ke Pusingan Akhir Piala Asia B-23 AFC 2022
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram