SARAWAK United tidak meletakkan sasaran yang tinggi dalam aksi liga musim ini dan hanya mahu kekal dalam Liga Super pada musim depan.
Pengarah teknikalnya, B Sathianathan berkata, kelab tidak boleh meletakkan sasaran yang tinggi memandangkan ia tidak berbelanja besar pada jendela perpindahan baru-baru ini.
"Tahun ini kita tidak ada cita-cita besar, cuma nak kekal dalam Liga Super. Bagi saya kita harus bersikap realistik dalam meletakkan sasaran.
"Kita pun tak berbelanja besar sebab nak berjimat-cermat, jadi kita banyak ambil pemain Piala Presiden untuk menggantikan pemain yang berhijrah ke pasukan lain.
"Import yang kita beli pun masih ada yang belum sampai lagi," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, beliau mengakui, presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais ada menawarkan kepadanya untuk menjadi ketua jurulatih pasukan berikutan peletakan jawatan E Elavarasan.
Elavarasan meninggalkan Sarawak United selepas dilantik sebagai pembantu ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon pada Rabu.
Namun, Sathianathan berkata, beliau tidak mahu terburu-buru membuat keputusan dan masih berbincang dengan Posa mengenai perkara itu.
"Saya perlu duduk semeja dahulu bersama pengurusan untuk berbincang mengenai beberapa perkara seperti matamat pasukan sebelum membuat keputusan.
"Buat masa ini, saya masih lagi memegang jawatan sebagai pengarah teknikal," katanya.
Jika menerima jawatan berkenaan, Sathianathan mengakui beliau tidak akan melakukan perubahan drastik terhadap pasukan dalam memandangkan musim baharu akan bermula tidak lama lagi.
Katanya, beliau mungkin memerlukan dua atau tiga perlawanan sebelum mengubah beberapa perkara mengikut pelan taktikalnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram