Khairul Asyraf bakal ulangi pencapaian Zlatan Ibrahimovic?


  • Podium
  • Sabtu, 26 Feb 2022

JARINGAN yang dilakukan Khairul Asyraf ketika menentang Penang FC. — Perak FC

PEMINAT bola sepak tempatan pada Rabu terpukau dengan jaringan yang dilakukan pemain Perak FC, Khairul Asyraf dalam aksi persahabatan menentang Penang FC.

Sepakan dari tengah padang di kawasan sendiri pada minit ke-80 oleh Khairul Asyraf berjaya menerjah gawang lawan yang dikawal oleh bekas pemain Perak, Hafizul Hakim.

Peminat menyamakan gol tersebut seperti yang dilakukan oleh bekas bintang Manchester United, David Beckham ketika menentang Wimbledon dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 1996.

Ramai peminat bola sepak tempatan yang berpendapat bahawa gol itu layak dicalonkan di dalam anugerah berprestij Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Anugerah Puskas, yang pernah dimenangi pemain Penang FC, Mohd Faiz Subri.

Faiz memenangi anugerah tersebut pada bagi tahun 2016 melalui sepakan percumanya yang dianggap melawan hukum fizik dalam aksi Liga Super menentang Pahang.

Pada edisi kali kelapan itu, beliau menewaskan pemain Brazil, Marlone dan Daniuska Rodriguez daripada Venezuela, masing-masing di tempat kedua dan ketiga, serta beberapa nama besar antaranya Lionel Messi, Neymar dan juga Saul Niguez.

Mungkinkah kita dapat melihat seorang lagi anak tempatan berdiri sebaris dengan bintang-bintang ternama dunia dalam anugerah berprestij itu?

Walaupun sekadar perlawanan persahabatan, seseorang pemain masih berpeluang untuk memenangi anugerah itu jika melakukan jaringan cantik.

Radamel Falcao ketika beraksi untuk Atletico Madrid pada 2012, menduduki senarai kedua anugerah itu, tewas kepada Miroslav Stoch dari Fenerbahçe.

Selain itu, bintang Argentina, Lionel Messi sendiri tersenarai dalam 10 calon terakhir untuk merebut gelaran itu pada tahun yang sama.

Zlatan Ibrahimovic menjadi satu-satunya pemain yang memenangi anugerah Puskas berdasarkan jaringannya ketika dalam perlawanan persahabatan menentang England. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram