Kriteria arwah Ahmad Basri antara syarat Teong Kim ke FAM


  • Podium
  • Khamis, 24 Feb 2022

ARWAH Ahmad Basri memainkan peranan yang besar dalam memajukan bola sepak Kedah. — Semuanyabola

BUKAN lagi rahsia bahawa peminat bola sepak tanah air mahukan bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim untuk berkhidmat bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Suara peminat yang menyokong langkah itu makin kuat apabila skuad senior dan junior Harimau Malaya menunjukkan aksi hambar pada saingan Piala AFF Suzuki selepas tersingkir di peringkat kumpulan.

Malah ada gesaan penyokong agar Teong Kim dilantik menjadi Presiden FAM seperti yang tertera pada komen di laman Instagramnya dan terbaharu, satu wawancara bersama portal sukan tanah air, bertanyakan soalan kepadanya tentang reaksi bekas jurulatih belia Bayern Munich itu tentang harapan penyokong.

Beliau bagaimanapun menjadikan dua individu sebagai ukuran untuk memegang jawatan Presiden FAM, antaranya arwah Datuk Paduka Ahmad Basri Akil yang amat sinonim sebagai bapa pembangunan bola sepak Kedah.

Siapa yang tidak kenal akan bekas pengurus Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah ini.

Nama ini bukanlah asing bagi majoriti penyokong bola sepak negeri Kedah apatah lagi dengan slogan “Biar Jasa Jadi Kenangan”, yang menjadi satu legasi tidak terungkap maknanya bagi mereka yang tahu perjuangan tanpa kenal penat lelah itu.

Namun akibat kelantangannya meyuarakan pendapat, Datuk Paduka Ahmad Basri Akil digantung selama tahun pada tahun 2001 dan 3 tahun pada tahun 2006 oleh FAM.

"Kalau untuk (bekerja dengan) FAM, selagi Presiden FAM di sana, saya tidak berminat langsung.

"Saya hanya bekerja untuk mereka yang mempunyai integriti seperti (arwah) Datuk Basri, (arwah) Tan Sri Elyas (Omar).

"(Mereka) ini merupakan invidivu yang ada integriti dan dihormati," kata Teong Kim apabila ditanya sama ada berminat untuk kembali berkhidmat di Malaysia.

Sebaliknya, Teong Kim mengakui beliau lebih senang dengan caranya ketika ini berinteraksi dan berkongsi ilmu serta pengalamannya menerusi media sosial.

"Saya lebih suka dengan IG (Instagram) saya, pemain tanya saya, dan saya jawab. Tidak mengapa.

"Jika mereka fikir ilmu saya substandard, tidak mengapa. Bukan saya yang rugi. Ramai peminat tahu saya punya keupayaan, kualiti saya.

"Saya berterima kasih kepada mereka, tetapi orang-orang yang lain masih cemburu, hati busuk, apa boleh saya buat, kalau itu mereka fikir, (biarlah) begitu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram