KEKALAHAN skuad bola kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) di tangan Laos pada Piala AFF B-23 baru-baru ini, menambahkan lagi luka selepas kegagalan pasukan senior di pentas sama tahun lalu.
Tewas di tangan pasukan dianggap kerdil di Asia Tenggara, Laos dengan agregat 1-4 bukan satu perkara yang boleh dipandang remeh.
Negara yang hanya memiliki lima buah kelab bola sepak itu mampu menewaskan Malaysia yang mempunyai struktur liga lebih baik.
Berkongsi kekecewaan kekalahan berkenaan, seorang pengguna Facebook, Syfq Amal menyatakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mempunyai visi untuk pembangunan bola sepak yang berjaya.
"Kena faham dengan institusi FAM ini, visi dia bukan untuk pembangunan bola sepak yang berjaya.
"Usaha yang dititikberat dan dipandang serius hanyalah untuk menang dengan jiran sebelah dan menang Piala AFF Suzuki sahaja.
"Kalau Lim Teong Kim kendali FAM, kira dah melanggar adat dalam FAM. Sebab pasti di bawah kepimpinan LTK, bola sepak Malaysia lebih berjaya.
"Sebagai rakyat biasa yang dah bosan dengan bola sepak Malaysia yang mundur dan memalukan, saya ambil keputusan duduk tepi makan kuaci sambil gelak dengan jenaka bola sepak Malaysia.
"Oh satu lagi, sungguh saya tak terkejut pun satu hari nanti skuad senior Laos lebih berjaya daripada pasukan Malaysia," katanya.
Sejak kekalahan memalukan skuad junior itu, penyokong dan peminat bola sepak meluahkan hasrat di media sosial untuk meminta Teong Kim yang merupakan bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk memegang kerusi panas di FAM itu.
Ini ekoran sejak kekalahan skuad senior di Piala Suzuki AFF 2020, ramai peminat mendesak agar Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin meletakkan jawatan namun beliau tegas dengan pendiriannya untuk kekal memegang jawatan serta mahu para penyokong memberikan masa.
Beberapa warganet mencadangkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebagai calon pilihan menggantikan Hamidin.
"Dulu pun ramai nak TMJ (Tengku Mahkota Johor) jadi Presiden. Last-last kalah saja. Fans suruh dia keluar. Tak mustahil Teong Kim jadi pun benda sama berulang. Saya cadang MB Kedah jadi Presiden," ujar seorang pengguna Facebook, Safuan Rosalan.
"Bagi menteri Kedah jadi, tengok ada yang berani nak kacau," kata seorang lagi pengguna Facebook, Pak Kodie. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram