Jawapan 'pedas' LTK jika diberi pilihan


  • Podium
  • Selasa, 08 Feb 2022

TEONG KIM mendedahkan sebab beliau enggan melatih skuad bola sepak kebangsaan. — Facebook

KEMELUT antara bekas Pengarah Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilihat masih tidak berkesudahan.

Teong Kim sebelum ini dilihat lantang mengkritik pengurusan FAM yang dilihat 'menjatuhkan' mutu bola sepak negara.

Namun, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sedia berjumpa dengan Teong Kim untuk berbincang kaedah untuk memajukan bola sepak negara.

Cuma baru-baru ini, di laman Instagram Teong Kim, seorang warganet bertanyakan kepada beliau sekiranya diberi pilihan untuk mengendalikan skuad bola sepak kebangsaan atau pasukan Liga Jerman (Bundesliga).

"Selagi Hamidin di sana (FAM), tidak mahu," balas Teong Kim.

JAWAPAN balas Teong Kim di Instagram. — Instagram Teong Kim

Ujar Teong Kim lagi, beliau juga berminat untuk mengendalikan pasukan Bundesliga namun sukar untuk berbuat demikian kerana kelab di negara berkenaan lebih cenderung melantik jurulatih tempatan.

Untuk rekod, Teong Kim memulakan kerjaya kejurulatihannya bersama pasukan remaja Bayern Munich pada 2001 hingga 2013.

Beliau kemudiannya menjadi Pengarah NFDP dari 2013 hingga 2019 dan memegang jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan Bawah 16 (B-16) dari 2017 hingga 2018.

Teong Kim dipecat serta-merta selepas kegagalan anak buahnya merebut tiket ke Piala Dunia B-17 di Peru 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram