'Saya bekerja untuk Bayern Munich, bukan kelab kucing kurap' — Teong Kim


  • Podium
  • Rabu, 23 Feb 2022

TEONG Kim (dua dari kiri) mahu semua pihak hargai ilmu kejurulatihannya.

BEKAS Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim sebelum ini dikecam kerana wujud dakwaan beliau meminta gaji sehingga 70,000, 80,000 euro (RM331,000-RM379,000) sebulan sekiranya mahu berkhidmat untuk bola sepak negara.

Dakwaan itu dikemukakan oleh pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu temubual bersama portal sukan tempatan pada Januari lalu.

Tunku Ismail menyatakan sekiranya Teong Kim sayangkan bola sepak negara, beliau tidak patut meminta gaji sebanyak itu.

"Takkan saya nak bayar seperti itu. Jurulatih dan pemain saya pun tidak sampai begitu (gaji). Bagi saya, itu banyak sangat tetapi semua orang berhak meminta sesuatu.

"Cuma kita tengok CV (biodata) dan pernah atau tidak dia menjadi jurulatih pasukan kebangsaan? Kalau dia sayangkan pembangunan Malaysia, suruhlah dia buat pembangunan dengan gaji RM20,000-RM30,000," katanya dalam temubual tersebut.

Namun, dakwaan tersebut sehingga kini sering dibidas oleh Teong Kim.

"Kalau saya orang Malaysia, saya kata okaylah tetapi saya bukan duduk di Malaysia, saya tinggal di Eropah.

"Kos sara hidup di sini (Jerman) mahal, ya Tunku, Tunku, kos sara hidup di Jerman sangat tinggi.

"Awak nak saya tinggal anak bini saya di sini dan pergi sana (Malaysia) untuk RM20,000-RM30,000?

"Lebih baik saya tulis di Instagram, bantu pemain saya, bantu jurulatih, lebih baik begitu.

"Awak ingat saya monyet? Awak tidak hargai ilmu saya. Tapi awak boleh bayar berjuta, beribu kepada pemain Eropah.

"Saya bekerja selama 12 tahun untuk Bayern Munich, bukan kelab kucing kurap.

"Saya bekerja dengan pemain Piala Dunia, menang Piala Dunia. Ada dua pemain yang saya pernah bekerja dengan saya, kini bermain di Real Madrid iaitu David Alaba dan Toni Kroos," katanya dalam temubual bersama portal sukan tempatan pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram