TONGGAK baharu Sri Pahang FC, David Rowley sudah terpikat dengan kelab Pantai Timur itu walaupun baru beberapa bulan berhijrah.
Dalam satu wawancara secara maya, David berkata, latihan di Sri Pahang semuanya berjalan dengan baik, Jurulatih juga begitu profesional dan tegas, dan pemain-pemain semuanya berdisiplin.
"Kualiti semua pemain semuanya tampak bagus, dan begitu juga dengan pemain import. Saya rasa Sri Pahang akan tampil cemerlang pada musim ini," katanya apabila ditanya tentang penyesuaian diri di kelab baharu itu.
Sebelum ini, David Rowley sudah berkelana ke beberapa kelab tempatan iaitu PDRM, Negeri Sembilan FC, Kelantan FC, Kedah, Penang dan terkini Sri Pahang FC.
Sebelum ini, pemain tengah berusia 32 tahun itu menghabiskan masa di Liga Jerman dan Luxemborg sebelum berhijrah ke Liga Malaysia (Liga-M).
David boleh dikatakan antara watak penting untuk Penang FC pada saingan musim lepas apabila membantu kelab utara itu menduduki tangga ketiga dalam Liga Super, di belakang JDT dan Kedah.
Mengulas tentang perkara menarik di Pahang, pemain kelahiran Australia itu teruja dengan beberapa perkara termasuk makanan dan lokasi di negeri Pantai Timur itu.
"Di Kuantan, pengalaman yang berbeza (berbanding Kedah) kerana tinggal dekat laut, jadi tinggal di Malaysia sememangnya satu pengalaman yang unik dan menarik.
"Sekarang saya berada di Pahang, dan sudah tentunya (makanan kegemaran) ikan patin tempoyak, rasanya begitu sedap sekali serta ubi kayu dan makan atas daun pisang, begitu banyak sekali makanan menarik di Malaysia.
"Saya juga boleh makan durian, tetapi saya rasa kuah ikan patin kurang kuat rasanya berbanding durian," katanya apabila ditanya tentang makanan menarik di Pahang.
Mengulas tentang komunikasi dalam Bahasa Melayu, David berkata, dia boleh bertutur dengan baik walaupun sukar untuk memahami sesetengah loghat.
Malah katanya, dia pasti akan belajar perkara baharu di Pahang terutamanya loghat di negeri itu.
"Saya sudah boleh bercakap dengan baik Bahasa Melayu tetapi tidak pandai bercakap balik terutamanya apabila ada kawan-kawan menggunakan loghat seperti Kelantan namun yang asasnya saya boleh bercakap serba sedikit.
"Macam di Kedah ada perkataan bunyinya nyioq (kelapa), tidoq (tidur), Aloq Staq (Alor Setar), semuanya nyata berbeza.
"Belum lagi (belajar loghat Pahang) tapi saya pasti akan belajar sesuatu.
"Saya sudah menjelajah ke lapan bandar berbeza dan sememangnya banyak pengalaman menarik. Saya suka kepada alam semula jadi, malah Pahang mempunyai tempat seperti itu dengan Taman Negara, gua-gua menarik. Banyak aktiviti yang boleh saya lakukan di sini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram