BEKAS pemain Kelantan FC, David Rowley sudah berkelana ke beberapa kelab tempatan iaitu PDRM, Negeri Sembilan FC, Kelantan FC, Kedah, Penang dan terkini Sri Pahang FC.
Sebelum ini, pemain tengah berusia 32 tahun itu menghabiskan masa di Liga Jerman dan Luxemborg sebelum berhijrah ke Liga Malaysia (Liga-M).
David boleh dikatakan antara watak penting untuk Penang FC pada saingan musim lepas apabila membantu kelab utara itu menduduki tangga ketiga dalam Liga Super, di belakang JDT dan Kedah.
Meskipun sudah lebih tiga tahun meninggalkan Kelantan FC, David mengakui ada pengalaman yang tidak boleh dilupakan bersama kelab Pantai Timur itu.
Bukan sekadar rakan sepasukannya di Kelantan FC, tetapi ia juga melibatkan perkara lain selain bola sepak.
"Saya rasa bertuah kerana dapat mengembara serta mempelajari sesuati bermula di Negeri Sembilan kemudian ke Kelantan.
Di sana (Kelantan), saya berpeluang merasai nasi kerabu iaitu lebih dikenali nasi pada hari Rabu, serta laksam serta budaya tarian dan tidak boleh dilupakan penyokong-penyokong di sana yang ramah," katanya dalam satu sesi wawancara secara maya.
Pemain yang popular dengan gaya vintaj iaitu bermisai, juga mendedahkan dia sudah boleh bertutur dalam Bahasa Melayu walaupun tidak begitu lancar.
"Saya sudah boleh bercakap dengan baik Bahasa Melayu tetapi tidak pandai bercakap balik terutamanya apabila ada kawan-kawan menggunakan loghat seperti Kelantan namun yang asasnya saya boleh bercakap serba sedikit," katanya.
Ditanya tentang gaya bermisai, David berkata, dia menyimpannya kerana ia umpama tradisi kepada keluarganya.
"Pertama sekali, isteri saya sendiri suka saya menyimpan misai ini dan tujuan utama adalah ayah saya serta datuk saya juga menyimpan misai lebih 50 tahun, begitu juga ayah kepada isteri saya.
"Semasa di Kelantan, saya ada mencukurnya tetapi itu sekali sahaja kerana sebelum itu saya sudah menyimpannya lebih kurang 12 tahun semasa di Jerman," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram