KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menafikan dakwaan yang mengatakan beliau pernah memohon ataupun menerima permohonan untuk menjadi pembantu ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Pekara itu dikongsikan oleh pemerhati sukan, Fadhirul Shuhaimi dalam ciapan laman Twitternya pada Rabu.
CIAPAN Fadhirul Shuhaimi laman Twitternya pada Rabu.
Nafuzi menegaskan, komitmen beliau kini adalah menjadi pengendali TFC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2022.
"Saya tidak pernah hantar atau menerima apa-apa permohonan daripada FAM untuk pikul tugas selaku pembantu ketua jurulatih Harimau Malaya. Komitmen saya ketika ini adalah bersama Terengganu," kata Nafuzi.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa seorang jurulatih bola sepak tempatan yang mempunyai 'nama besar' merupakan antara individu berminat untuk menjadi pembantu ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan, Kim Pan Gon.
TEMUBUAL wartawan Astro Arena, Fina Nasrom (kiri) bersama Scott O'Donell berhubung calon pembantu jurulatih Harimau Malaya
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, jurulatih berpengalaman tersebut antara 10 calon sedang diteliti pengarah teknikal badan induk berkenaan, Scott O'Donell.
Malah, ujar Mohd Saifuddin, Pan Gon sendiri yang memberitahu FAM untuk mendapatkan khidmat seorang jurulatih tempatan untuk membantunya.
Dalam pada itu, ketika ini Nafuzi dan anak buahnya sedang giat menjalani latihan bagi meningkatkan kecergasan dan pasukannya juga telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di laman sendiri dengan beberapa pasukan dari Liga M3 serta Kelantan United.
TFC akan memulakan saingan pertama Liga Super dengan pasukan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 5 Mac ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram