PEMAIN import dari Argentina, Manuel Hidalgo dilaporkan tidak meneruskan hasrat untuk beralih angin dari Kelab Bola Sepak Sri Pahang (SPFC) sebaliknya menyambung khidmatnya dengan pasukan itu musim ini.
Perkara itu didedahkan menerusi hantaran di laman sosial, Facebook SPFC pada Sabtu apabila pemain tengah berusia 23 tahun itu mengesahkan menandatangani kontrak bersama skuad Tok Gajah.
"Lihat siapa yang kembali!. Kami berbesar hati mengumumkan Hidalgo telah menandatangani kontrak baharu untuk kekal bersama Sri Pahang FC!," katanya.
Pengumuman itu bermakna Sri Pahang melengkapkan lima pemain import yang diyakini membantu memperkasakan skuad Tok Gajah musim ini.
Bintang dari Argentina itu dibawa masuk pada pertengahan musim lalu dan berjaya menambat hati penyokong dengan kelincahan dan aksi memukau di posisi sayap.
Selain Hidalgo, empat pemain import bersama Sri Pahang musim ini ialah Mamadou Samassa dari Mali, Mahmoud Za'tara (Jordan), Johan Martial (Perancis) dan Billy Ketkeophomphone (Laos).
Hildago sebelum ini menyatakan hasrat untuk beralih angin ke pasukan lain selepas kontraknya bersama SPFC tamat November 2021.
Terdahulu, SPFC mengumumkan Muslim Ahmad yang tidak dilanjutkan kontrak bersama 14 pemain termasuk Hidalgo kembali disenaraikan dalam skuad kendalian Christophe Gamel.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram