Indra Putra, Wan Zack ketuai senarai bintang baharu The Bos Gaurus


  • Podium
  • Rabu, 02 Feb 2022

YUSRI Che Lah bertanggungjawab untuk membawa Perak FC kembali ke kancah Liga Super musim depan. — IZZRAFIQ ALIAS/ The Star

MUSIM 2021 pastinya mahu dilupakan Perak FC setelah tersingkir ke Liga Premier, selain dibelenggu dengan masalah tunggakan gaji yang membuatkan beberapa tonggak pasukan membuat keputusan untuk 'angkat kaki'.

Setelah diambil alih oleh Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd, Perak FC dilihat serius mahu mengorak langkah kembali menjadi kelab yang disegani di Malaysia selepas menyelesaikan isu dalaman pasukan.

Langkah pertama pastinya mempersembahkan aksi mantap dalam saingan Liga Premier musim ini untuk kembali semua ke Liga Super musim depan.

Untuk itu, pihak pengurusan skuad Kejor Yob Kejor dilihat tidak mengambil masa lama untuk melakukan rombakan secara besar-besaran termasuk membawa masuk bekas pemainnya, Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih.

Selain membawa masuk jurulatih baharu, skuad utama Perak FC juga bakal dibarisi oleh ramai muka baharu musim ini.

Antara pemain yang bakal menyertai skuad The Bos Gaurus adalah legenda negara, Indra Putra Mahayuddin yang dibawa masuk dari KL City FC serta bekas pemain kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Noor.

Selain itu, bekas rakan sepasukan Indra Putra di KL City FC, Zamir Selamat dan Aris Asri dilaporkan turut berpindah ke Stadium Perak musim ini.

Antara nama lain yang bakal menyarung jersi Perak FC adalah pemain sayap Melaka United, Syamim Yahya; penjaga gol Kelantan FC, Faridzuean Kamaruddin; pemain sayap Sri Pahang, Hafiz Ramdan serta pemain tengah Negeri Sembilan, Deevan Raj.

Yusri juga dilihat mahu memperkuat barisan pertahanan pasukan apabila merekrut beberapa muka baharu antaranya Randy Baruh dari Sabah FC, Khairul Asyraf (Penang FC), Farid Nezal (UiTM FC), Kamal Arif (Skuad Projek FAM-MSN) dan Afif Asyraf (UiTM FC).

Perak FC bakal memulakan saingan Liga Premier menentang Kelantan United di gelanggang lawan pada 5 Mac depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram