Nafuzi dah dapat 'bayang' kesebelasan utama TFC


  • Podium
  • Jumaat, 18 Feb 2022

NAFUZI berkata, beliau kini dalam proses mengenal pasti kelemahan dan berharap para pemain tidak sesekali bersikap mengambil mudah daripada perlawanan persahabatan. — Terengganu FC

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain masih menilai prestasi dan kelemahan pemainnya bagi menyediakan pasukan yang ampuh menjelang aksi Liga Super yang membuka tirai awal Mac depan.

Katanya, menerusi beberapa perlawanan pramusim yang diharungi skuadnya, beliau telah mendapat bayangan barisan kesebelasan utama skuad Sang Penyu itu.

"Walaupun pada perlawanan persahabatan malam ini kita menang 1-0 bertemu Melaka United, bagi saya ia tidaklah hebat mana memandangkan dalam 90 minit permainan ada situasi yang mereka lebih baik daripada pasukan kita.

"Kita kini dalam proses mengenal pasti kelemahan dan daripada perlawanan persahabatan ini kita berharap para pemain tidak sesekali bersikap mengambil mudah sebaliknya meningkatkan prestasi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan di Melaka pada malam Khamis.

Terdahulu, dalam aksi di Stadium Hang Jebat itu, tuan rumah dikecewakan TFC 1-0 menerusi sepakan penalti pada minit ke-76 yang disempurnakan Jordan Mintah.

Mengulas lanjut, Nafuzi berkata, beliau juga berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan pemain import dari Filipina, Manny Ott yang disifatkannya memiliki kualiti yang dikehendakinya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka United, Risto Vidakovic yang ditemui berkata, biarpun pemain bermula agak lambat untuk menyesuaikan diri, tetapi mereka bijak mencipta banyak peluang yang memberinya keyakinan skuadnya itu mampu melakukan lebih baik pada saingan sebenar.

Katanya, biarpun tewas, namun beliau tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya yang telah menunjukkan corak permainan yang diharapkan selain mempamerkan sikap mahu melawan.

Selepas ini, Terengganu mempunyai baki tiga aksi pramusim dan akan bertemu pasukan Selangor FC dan Selangor II serta PDRM FC manakala skuad Hang Tuah akan menentang Selangor FC dalam satu lagi perlawanan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram