USAHA pencarian penolong jurulatih skuad bola sepak kebangsaan dilihat sedikit terbantut apabila Nidzam Jamil menarik diri daripada menjadi calon.
Pengesahan itu dibuat ejennya, Estrada Sports Agency pada Khamis.
Jelas ejennya, Nidzam menarik diri untuk menerima jawatan berkenaan bagi menghormati kontrak bersama Selangor FC.
Nidzam ketika ini memiliki kontrak sebagai penolong ketua jurulatih Selangor FC sehingga 2024.
Ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon dikatakan mahu melantik seorang penolong ketua jurulatih yang muda dan memiliki pengalaman luas dalam Liga Malaysia (Liga-M).
Gandingan staf sokongan yang dibawa oleh Pan-gon pernah menjuarai Piala AFC Bawah 23 (B-23) pada 2016.
Mereka bergandingan sejak 10 hingga 15 tahun sebagai satu pasukan di Korea Selatan dan Hong Kong.
Menerusi bantuan jurulatih tempatan, gandingan berkenaan diharap mampu mencipta wajah baharu buat Harimau Malaya.
Selain Nidzam, antara nama yang disebut mengisi jawatan tersebut adalah ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain dan jurulatih Kuala Lumpur City FC, Muhammad Shukor Adan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram