'Dua jurulatih tolak FAM, lantik saja B. Sathianathan'


PEMINAT bola sepak kebangsaan mempersoalkan FAM yang sering melantik jurulatih dalam kalangan pasukan negeri walaupun jurulatih itu masih mempunyai kontrak bersama pasukannya.

MISI mencari penolong jurulatih skuad bola sepak kebangsaan masih menjadi tanda tanya apabila pelbagai nama dikaitkan termasuklah jurulatih Nafuzi Zain, jurulatih Kuala Lumpur City FC, Muhammad Shukor Adan dan juga penolong ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil.

Namun, khabar mendukacitakan untuk pasukan Harimau Malaya apabila Nafuzi Zain dan Nidzam Jamil difahamkan menolak tawaran sebagai pembantu jurulatih skuad kebangsaan.

Ekoran tawaran jawatan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu, peminat bola sepak kebangsaan mempersoalkan tindakan FAM yang sering melantik jurulatih dalam kalangan pasukan negeri walaupun jurulatih itu masih mempunyai kontrak bersama pasukannya.

bola selangor

TANGKAP layar hantaran dari Selangor Fanatik Official.

"Pada yang tidak tahu, teknik ambik jurulatih yang ada kontrak dengan pasukan negeri bukan perkara aneh sejak kumpulan "pendrive" ada dalam bola sepak Malaysia," kata laman Facebook Selangor Fanatik Official.

Isu pendrive mula diperkatakan sejak 2016 yang mana Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengatakan pendrive itu adalah mengenai salah laku dari segi teknikal seperti sikap pilih kasih, jurulatih tidak profesional dan Exco yang tidak memainkan peranan untuk menjalankan tugas dengan betul.

Malah, laman Facebook itu juga menyentuh isu pelantikan bekas jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe (TCH) yang dilantik sebagai pembantu jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingida pada 2017.

"Anda tahu siapa melantik Nelo ini? Apa terjadi kepada Kedah? Dan boleh agak tidak kalau Kedah dalam dua tahun selepas itu masih di bawah TCH, kedudukan mereka di mana?

"Perkara dilantik ini bukan perkara yang salah, tapi di Malaysia ini punya berlambak jurulatih yang masih tiada pasukan, tapi memang arif dengan suasana bola sepak Malaysia," kata laman itu.

Dalam pada itu laman Facebook itu juga mencadangkan untuk melantik bekas ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, B. Sathianathan kerana beliau lebih arif mengenai bola sepak Malaysia termasuklah isu penyakit misteri.

"Jurulatih Sathianathan contohnya, patut FAM ambillah dia yang diketahui umum arif tentang bola sepak tempatan, termasuk isu "penyakit misteri" yang secara tiba tiba boleh melanda pasukan dalam liga Malaysia.

"Tapi itulah, pasukan Selangor dan Kedah juga dia nak usik," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram