PENYERANG sensasi Liga Super, Tchetche Kipre langsung tidak menyangka akan kembali semula ke kelab lamanya, Terengganu FC (TFC) selepas meninggalkan pasukan pada 2019.
Beliau mengakui tidak berfikir panjang apabila mendapat panggilan dari ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain dan merasakan negeri Pantai Timur itu sudah menjadi sebahagian daripada dirinya.
Peluang kedua yang tiba ini diharap dapat membuahkan kejayaan yang lebih besar berbanding apa yang dilakar ketika bersama kelab sebelum ini.
“Dalam bola sepak, memang sukar buat pemain kembali beraksi dengan pasukan sama dan sebelum saya bersama Terengganu semula, ramai peminat mengatakan amat sukar untuk bekas pemain-pemain kembali ke sini selepas keluar.
“Jadi saya rasa sangat bertuah kerana diberi kepercayaan sekali lagi untuk pulang ke Terengganu, tempat saya mulakan karier di Liga Malaysia selain banyak kenangan indah telah tercipta di sini, harap musim 2022 akan memberikan kenangan yang lebih bermakna.
“Terengganu umpama negeri kedua dan semasa berhijrah ke Kedah pada musim 2020, saya sebenarnya berpisah dengan cara baik dan tiada masalah untuk saya kembali ke sini.
“Saya sempat berada dengan Nafuzi Zain pada 2019 selama enam bulan yang ketika itu dilantik menjadi pemangku sementara malah sudah mengenalinya sejak dia menjadi penolong kepada Irfan Bakti, jadi saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan beliau,” katanya.
Kipre merupakan tonggak utama pasukan ketika menyarung jersi hitam putih TFC dari 2017 hingga 2019 apabila merekodkan 50 gol secara keseluruhan.
Peminat pasti masih tidak melupakan jasanya selama tiga musim berkenaan yang menyaksikan beliau menjadi penjaring terbanyak di setiap musim.
Dalam pada itu, Kipre mengakui beliau sangat gembira kehadirannya ke Terengganu tidak keseorangan sebaliknya turut ditemani rakan sepasukannya dari Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kpah Sherman.
Ujar Kipre, keserasian yang terbina bersama Sherman sejak dua musim lalu mampu diteruskan dan optimis mereka berdua mampu melakukan lebih baik berbanding di KDA FC.
“Saya memang teruja apabila mengetahui Sherman akan bersama di TFC, beliau sememangnya seorang penyerang yang berkualiti tinggi dan sentiasa bijak mencari ruang dalam kawasan lawan.
“Harap persefahaman yang terjalin akan memberikan kesan positif buat Terengganu kerana kami sudah masak dengan corak permainan kami antara satu sama lain.
“Selain itu, tidak dilupakan Jordan Mintah, yang saya rasakan sebagai satu persaingan sihat untuk pasukan kerana beliau juga seorang penyerang yang bagus jika dilihat persembahan musim lalu,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram