TEKA-TEKI individu yang bakal mengisi posisi penolong jurulatih tempatan negara akan terjawab pada 17 Februari.
Difahamkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga akan memperkenalkan ketua jurulatih kebangsaan baharu, Kim Pan-gon pada hari sama.
Sebelum ini, Pan-gon mahu melantik seorang penolong jurulatih tempatan yang berpengalaman bagi memantapkan skuad kebangsaan.
Minggu lalu, FAM memaklumkan dua calon akhir sudah dimuktamadkan dan nama dua calon berkenaan diserahkan kepada Pan-gon.
Antara nama yang disebut-sebut bakal membantu Pan-gon adalah jurulatih Sarawak United, E Elavarasan; bekas jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan; bekas pengendali Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah; penolong jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil dan ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain.
Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar memaklumkan pihaknya tiada masalah untuk menebus kontrak sekiranya calon yang dipilih oleh Pan-gon memiliki kontrak dengan kelab masing-masing.
"Jika mereka masih ada kontrak, kita akan berusaha melakukan rundingan," ujar Saifuddin baru-baru ini.
Selain penolong jurulatih tempatan, Pan-gon akan turut membawa empat lagi jurulatih untuk membantunya iaitu Pau Marti Vicente (penolong jurulatih), Cho Jun Ho (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (penganalisis). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram