Kpah Sherman teruja beraksi di bawah Nafuzi


  • Podium
  • Sabtu, 29 Jan 2022

SHERMAN berpindah ke TFC daripada KDA FC pada hujung tahun lalu. — TFC

PENYERANG baharu Terengganu FC (TFC), Kpah Sherman tidak sabar untuk menggandakan jumlah jaringannya bersama kelab pantai timur itu.

Pemain antarabangsa Liberia itu berkata, beliau menikmati persekitaran dan cabaran baharu di bawah bimbingan jurulatih, Nafuzi Zain selepas berkhidmat selama dua tahun bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Pemain berusia 29 tahun itu mahu membuktikan keupayaannya beraksi dalam sistem 'nafuzi ball'.

“Nafuzi merupakan seorang jurulatih yang sukakan penguasaan bola, dengan banyak hantaran dan pergerakan. Ia bagus kerana saya akan mempunyai lebih banyak peluang menjaringkan gol,” kata Sherman.

Sherman akan bergandingan dengan penyerang Ivory Coast, Tchetche Kipre, yang merupakan rakan sepasukannya di Kedah selama dua tahun. Duo tersebut akan disokong oleh dua pemain sayap tempatan yang pantas, Faisal Halim dan Faiz Nasir.

“Saya mengenali Tchetche dengan baik, jadi tiada isu dari segi kombinasi dan persefahaman. Saya percaya kami boleh meneruskan hubungan baik kami dengan pemain tempatan.

“Saya berharap untuk menjadi salah seorang penjaring terbanyak dalam liga dan membantu pasukan ini bermain dengan baik dalam semua pertandingan,” kata Sherman.

Beliau menegaskan bahawa salah satu kekuatan TFC adalah perpaduan pasukan mereka.

“Pemain tempatan sudah lama bersama kelab dan disebabkan itu, mereka mempunyai keserasian dan persefahaman yang lebih baik.

“Setiap sesi latihan berlangsung dengan amat sengit, tetapi selepas itu, para pemain menunjukkan rasa hormat yang tinggi antara satu sama lain – dan sikap yang betul akan membawa kami pergi jauh.”

Musim lalu, TFC menduduki tempat keempat dalam Liga Super serta layak ke separuh akhir Piala Malaysia. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram