BINTANG muda sedang meningkat naik, Aiman Afif Md Aizul bertekad untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai kapten skuad kebangsaan Bawah 23 (B-23) baharu dengan sebaik mungkin.
Ketua jurulatih B-23, Brad Maloney memilih pemain kelahiran Kedah itu sebagai kapten menjelang aksi pembukaan Piala AFF B-23 menentang Myanmar di Phnom Penh, Kemboja pada Selasa.
Selepas bertemu Myanmar, Malaysia akan bertemu Laos pada Jumaat.
Aiman Afif, 20, yang juga dikenali sebagai 'Budak Tebing' kerana persamaannya dengan watak dilakonkan oleh pelakon, Aedy Ashraf dalam siri TV Melayu tersebut, berkata, dia akan komited untuk membimbing rakan sepasukannya.
"Ia satu penghormatan tetapi juga satu tanggungjawab besar. Saya bersedia untuk memikul tugas itu kerana jurulatih kami telah membimbing saya sepanjang kem latihan pusat," ujarnya.
Dia juga berharap mendapat sokongan rakan sepasukan lain yang memiliki kualiti kepimpinan seperti Harith Haiqal Adam Afkar, Ahmad Zikri Khalili, Azfar Fikri Azhar dan A. Shivan Pillay.
"Saya tidak perlu risau kerana saya akan mendapat bimbingan daripada pemain lain juga.
"Komunikasi yang baik adalah kunci untuk menguruskan pasukan dengan baik semasa permainan.
"Saya akan melakukan yang terbaik dan membuat rakyat Malaysia berbangga dengan kami dalam kejohanan ini," menurutnya.
Tambah Aiman, Harimau Muda akan bersedia berdepan Myanmar walaupun jurulatih mereka, Velizar Popov menyatakan latihan pasukan tersebut terganggu akibat ketidakstabilan politik di negara terbabit dan pandemik Covid-19.
"Mereka pantas. Saya melihat permainan mereka dan beberapa pemain mereka memiliki kualiti yang baik. Jadi kami perlu berada pada tahap 100 peratus.
"Kita belum menentang mereka tetapi kami mengkaji kekuatan mereka.
"Kita akan menunjukkan komitmen sama apabila menentang Laos kelak," ujarnya.
Sementara itu, Maloney berkata, Aiman yang mampu bermain di posisi bek tengah dan penyerang adalah pilihan terbaik menjadi kapten.
"Dia bersama saya sejak hari pertama pada 2019 dan menjadi sebahagian daripada barisan skuad yang kami pilih untuk pelbagai kejohanan," kata Maloney.
Malaysia menetapkan sasaran untuk menjadi juara Kumpulan B, sekali gus layak ke peringkat separuh akhir pada 24 Februari dan diharapkan mara ke final pada 26 Februari. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram