Waspada 'perisik' Myanmar


  • Podium
  • Selasa, 15 Feb 2022

MALAYSIA bakal memulakan aksi Piala AFF Suzuki B-23 menentang Myanmar pada Selasa. — Agensi

SKUAD bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara yang bakal memulakan aksi Piala AFF Suzuki B-23 menentang Myanmar pada Selasa dinasihatkan supaya bermain bermati-matian bagi mendapatkan tiga mata penuh.

Pemerhati sukan negara, Zainal Abidin Rawop menegaskan pasukan itu tidak boleh dipandang enteng memandangkan pengendalinya, Velizar Popov mengetahui 'rahsia' pasukan negara.

"Kita kena ingat, pasukan remaja Myanmar dilatih oleh Popov yang pernah mengendalikan pasukan dalam Malaysia, dia tahu budaya bola sepak kita, dia kenal serba sedikit pemain negara terutamanya pemain remaja.

"Jadi misi utama esok adalah wajib menang. Jangan fikir satu mata sudah mencukupi kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada perlawanan berikutnya menentang Laos," katanya dalam satu temubual bersama radio Zayan pada Isnin.

Popov merupakan nama yang tidak asing dalam arena bola sepak tempatan kerana pernah mengendalikan Kelantan pada 2016.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan tepat kali ini dengan menghantar 28 pemain ke Kemboja selepas tiga pemain negara terpaksa diketepikan akibat Covid-19.

"Mujur kesilapan yang berlaku tempoh hari di Singapura diambil iktibar, jadi coach Brad Maloney mempunyai banyak pilihan pemain pada perlawanan pertama menentang Myanmar," katanya.

Malaysia, yang diundi dalam kumpulan B, bakal memulakan aksi menentang Myanmar pada Selasa sebelum berdepan cabaran Laos di stadium sama pada Jumaat.

Namun, Indonesia yang sepatutnya menjadi lawan akhir skuad negara menarik diri pada saat akhir akibat tujuh pemain dan seorang pegawai pasukannya disahkan positif Covid-19.

Hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada 24 Februari dan perlawanan akhir dijadual pada 26 Februari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram