Dengarnya Myanmar tarik diri, apa nasib Harimau Muda?


  • Podium
  • Selasa, 15 Feb 2022

HARIMAU Muda sepatutnya dijadualkan beraksi menentang Myanmar pada Selasa. — Facebook

BEBERAPA jam sebelum perlawanan pertama Kumpulan B Piala AFF Bawah 23 (B-23) pada Selasa, skuad bola sepak Myanmar dilaporkan menarik diri daripada kejohanan berkenaan.

Keputusan itu dibuat selepas hampir kesemua para pemainnya dijangkiti Covid-19.

Susulan keputusan itu, perlawanan pertama membabitkan skuad kebangsaan B-23 dan Myanmar berpihak kepada Harimau Muda apabila disahkan menang tanpa bertanding.

Skuad B-23 negara ketika ini sedang menjalani latihan sebagai pilihan kedua sebaik perlawanan pada Selasa dibatalkan.

Pihak penganjur kini difahamkan akan meneruskan kejohanan tersebut.

Terdahulu, ketua jurulatih Myanmar, Velizar Popov memaklumkan skuadnya tidak dapat menjalani latihan dengan baik ekoran ketidakstabilan politik di negara berkenaan dan pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Indonesia turut menarik diri daripada kejohanan terbabit susulan beberapa pemain utamanya turut dijangkiti Covid-19.

Beberapa pemain Harimau Muda turut disahkan positif Covid-19 seperti Shafi Azswad Sapari, Fahmi Daniel Zaaim dan Muhammad Safwan Mazlan.

Penularan kes Covid-19 di seluruh dunia meningkat dengan mendadak berikutan gelombang varian Omicron. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram