Nasihat buat Brad Maloney


  • Podium
  • Selasa, 15 Feb 2022

SKUAD negara bakal memulakan aksi menentang Myanmar pada Selasa. — FAM

PENGENDALI skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Brad Maloney dinasihatkan supaya tidak menjadikan kejohanan Piala AFF Suzuki B-23 sebagai medan ujikaji buat pemain-pemainnya.

Pemerhati sukan tempatan, Zainal Abidin Rawop berkata, pasukan negara sekurang-kurangnya harus menyasarkan untuk mara ke perlawanan akhir berdasarkan kekuatan skuad yang ada ketika ini.

"Kalau kita lihat skuad yang dihantar ke Kemboja adalah skuad yang berpengalaman dan sudah biasa dengan coach Maloney, ia menunjukkan beliau mahukan keseimbangan dalam pasukan ini.

"Tambahan pula, Indonesia yang sekumpulan dengan kita pun sudah menarik diri, jadi kita harus menyasarkan untuk ke final, dan jika ada rezeki boleh muncul juara supaya dapat memulihkan kembali imej pasukan kebangsaan kita," katanya dalam satu temubual bersama radio Zayan pada Isnin.

Menurut Zainal Abidin, keputusan Maloney untuk menamakan pemain yang sama pada kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia tempoh hari adalah satu tindakan terpuji memandangkan mereka sudah biasa bermain bersama.

Dalam pada itu, beliau turut berharap kelompok pemain B-23 akan diperluaskan lagi kerana anak didik Maloney bakal menghadapi tiga lagi kejohanan besar selepas ini iaitu Sukan Sea, Sukan Asia dan Piala Asia B-23.

"Kalau boleh ramaikan lagi (pilihan pemain) supaya coach mempunyai lebih banyak pilihan dan pilih mereka yang betul-betul berkualiti untuk bermain dengan skuad negara pada semua kejohanan ini.

"Pemain yang sudah ada dalam senarai pula patut diberitahu awal-awal bahawa mereka dalam perancangan, ada beberapa kejohanan besar yang mereka perlu sertai, jangan datang latihan kemudian hilang macam tu saja," ujarnya.

Malaysia, yang diundi dalam kumpulan B, bakal memulakan aksi menentang Myanmar pada Selasa di Stadium Prince sebelum berdepan cabaran Laos di stadium sama pada Jumaat.

Sementara Indonesia yang sepatutnya menjadi lawan akhir skuad negara pula menarik diri pada saat akhir akibat tujuh pemain dan seorang pegawai pasukannya disahkan positif Covid-19.

Hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada 24 Februari dan perlawanan akhir dijadual pada 26 Februari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram