Henderson kekal atau pergi?


  • Podium
  • Isnin, 14 Feb 2022

HENDERSON (kiri) banyak memanaskan bangku simpanan musim ini berikutan prestasi cemerlang De Gea. — Facebook

DAVID De Gea kembali mengukuhkan namanya sebagai penjaga gol nombor satu Manchester United pada musim ini.

Selepas berkongsi peranan dengan Dean Henderson musim lalu, penjaga gol berusia 31 tahun itu kembali mendapatkan semula prestasi terbaiknya.

Man United percaya dia beraksi baik terutamanya dari aspek menghalang percubaan gol dan De Gea berada pada landasan untuk merangkul anugerah pemain terbaik tahunan buat kali kelima sepanjang 11 tahun di kelab tersebut.

Penjaga gol Sepanyol itu hanya mempunyai baki kontrak selama 18 bulan yang ditandatangani pada 2019. Man United mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontrak itu.

Meskipun tiada sebarang rundingan dibuat, De Gea berkemungkinan akan ditawarkan kontrak baharu lewat tahun ini.

Dia bukan lagi seorang pemain yang mahu kembali bermain di Sepanyol sewaktu zaman kemuncaknya, jadi tiada spekulasi hangat akan terjadi seperti apa yang berlaku pada musim panas 2015 sewaktu De Gea hampir ke Real Madrid namun tidak dapat direalisasikan atas masalah 'mesin faks'.

Man United secara konsisten melayan De Gea dengan adil terutamanya apabila dia dikritik hebat kerana persembahannya.

Di Manchester, dia menemui 'tempat perlindungan' yang selamat dan beberapa kawan baik termasuk rakan senegara, Juan Mata.

De Gea juga berada dalam carta penampilan terbanyak sepanjang masa di Man United. Beraksi sebanyak 471 penampilan ketika artikel ini ditulis, dia berkongsi kedudukan ke-15 dengan Brian McClair.

Di posisi penjaga gol, hanya Alex Stepney (539) bermain untuk Man United lebih banyak daripada De Gea.

Screenshot 2022-02-13 102331

DE GEA berjaya mempamerkan semula aksi terbaiknya musim ini. — Facebook

Nasib Henderson

Bagaimanapun semua perkara ini tidak membantu Henderson, seorang penjaga gol terbukti di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dipinjamkan ke Sheffield United.

Semenjak tiba di Man United sewaktu berusia 14 tahun, apa yang Henderson mahukan adalah menjadi penjaga gol pilihan utama kelab tersebut.

Pasti menyakitkan jika dia terpaksa meninggalkan Man United, terutamanya selepas Henderson dianggap sebagai penjaga gol nombor satu musim lalu dan beraksi sebanyak 25 kali.

Namun, susulan kebangkitan semula De Gea musim ini, apa pilihan yang dia ada? Dia bakal berusia 25 tahun bulan depan dan terlalu bagus untuk berada di bangku simpanan setiap minggu.

Henderson tidak bernasib baik selepas dia disahkan positif Covid-19 pada pramusim dan tidak cergas untuk bermain pada bulan pertama EPL.

Dia merupakan faktor De Gea perlu meningkatkan prestasinya semula selepas dua musim yang berjaya di Sheffield United apabila membantu kelab itu layak beraksi di EPL dan menduduki tangga kesembilan pada musim seterusnya.

Malahan, Henderson juga berjaya meraih penampilan antarabangsa pertamnya pada November 2020.

Henderson boleh dimaafkan kerana menyangka janji yang dibuat kepadanya tentang masa depan bersama Man United ternyata kosong.

Sekiranya dia memilih untuk pergi, Man United berkemungkinan akan mendapatkan penjaga gol nombor dua yang baharu.

Siapa calon penjaga gol kedua?

Tom Heaton, pilihan ketiga mereka yang berusia 35 tahun, berada dalam sistem remaja Man United dua dekad lalu. Dipinjamkan kepada tidak kurang enam buah kelab sebelum keluar dari Man United pada 2010 untuk menyertai Cardiff City secara percuma.

Pernah beraksi bersama Bristol City, Burnley dan Aston Villa selain 30 panggilan antarabangsa sepanjang tempoh itu, Heaton kembali ke Man United pada awal musim ini dengan kontrak dua tahun serta pilihan lanjutan setahun.

Heaton membuat penampilan pertama buat pasukan utama pada Disember 2021 sewaktu menentang Young Boys di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menggantikan Henderson sewaktu separuh masa kedua.

Dia juga merupakan seorang pemain yang popular dalam kalangan pemain serta disifatkan sebagai penjaga gol yang baik oleh jurulatihnya.

Namun, pada usianya, peranan Heaton lebih terarah kepada menyokong penjaga gol di sekelilingnya, sama seperti yang dilakukan oleh Lee Grant ketika ini.

Grant tiba pada 2018 dan hanya membuat dua penampilan iaitu aksi terakhirnya pada November 2019. Grant berumur 39 tahun dan bakal tamat kontrak akhir musim ini.

Seorang lagi penjaga gol muda, Matej Kovar, 21, berlatih bersama pasukan utama sehingga tarikh akhir jendela perpindahan bulan lalu yang menyaksikan dia dipinjamkan ke kelab League 1, Burton Albion.

Selepas Kovar dipinjamkan, penjaga gol Ireland Utara Bawah 19 (B-19), Dermot Mee berlatih bersama pasukan utama namun dia terlepas peluang untuk beraksi lebih kerap jika memilih untuk beraksi secara pinjaman.

Screenshot 2022-02-13 102456

KOVAR merupakan antara penjaga gol muda di Man United. — Facebook

Lancaster City, Matlock Town dan pasukan simpanan Celtic merupakan antara pasukan yang berminat dengan Mee.

Seorang lagi penjaga gol muda yang juga rakan senegara Kovar dari Republik Czech iaitu Ondrej Mastny mengalami kecederaan beberapa kali tetapi dianggap sebagai pemain berbakat.

Radek Vitek yang juga dari Republik Czech, ditandatangani oleh Man United pada 2020. Stail permainannya dikatakan hampir menyamai Peter Schmeichel dan Oliver Kahn.

Selain itu, tidak dilupakan Nathan Bishop yang ditandatangani daripada Southend United pada Januari 2020. Dia kini dipinjamkan ke Mansfield Town.

BISHOP gagal menembusi kesebelasan utama berikutan kehadiran De Gea dan Henderson. — Facebook

Ke mana destinasi Henderson?

Henderson yang masih memiliki kontrak sehingga 2025, menarik minat daripada Newcastle United pada Januari lalu. Pengurus interim Man United, Ralf Rangnick menyenaraikan Henderson dalam kesebelasan utama sewaktu Man United tewas kepada Middlesbrough menerusi penentuan penalti pada saingan Piala FA dua minggu lalu.

Sekiranya Henderson pergi, logik untuk Man United mencari pelapis baharu kepada De Gea. Selama beberapa tahun, penjaga gol veteran, Sergio Romero menjadi pilihan kedua di Man United.

Romero akhirnya meninggalkan Man United pada musim panas lalu untuk menyertai Everton tetapi kini beraksi bersama kelab Serie A, Venezia.

Persoalannya kini, siapa paling layak mengisi penjaga gol nombor dua Man United pada musim mendatang sekiranya Henderson memilih untuk berhijrah.

Adakah Man United akan berbelanja pada jendela perpindahan musim panas kelak atau menggunakan penjaga gol muda kelab itu, sama-sama kita nantikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram