PENAHANAN penyerang Manchester United, Mason Greenwood baru-baru ini merupakan faktor yang menyebabkan kelab itu tidak melepaskan Jesse Lingard pada jendela perpindahan Januari, jelas pengurus, Ralf Rangnick pada Khamis.
Greenwood dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu siasatan lanjut, kata polis pada Rabu, selepas pemain berusia 20 tahun itu ditahan kerana disyaki merogol dan menyerang seorang wanita.
Penyerang Man United itu pada Selasa ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan serangan seksual dan melakukan ugutan bunuh.
Man United bertindak melarang Greenwood daripada berlatih atau beraksi sehingga diberitahu kelak, dan disebabkan kekurangan seorang penyerang dalam skuad, Lingard, yang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Newcastle United pada Januari, diperlukan oleh kelabnya.
"Dengan penutupan jendela perpindahan pada Isnin, lembaga pengarah memaklumkan kepada saya mereka lebih suka jika dia kekal, jadi saya faham dan terima.
"Kami mempunyai masalah dengan Mason Greenwood dan kekurangan pemain buat masa ini, kelab juga tidak mencapai persetujuan dengan kelab lain," kata Rangnick pada sidang akhbar apabila ditanya sama ada penahanan Greenwood menjejaskan keputusan kelab mengenai Lingard.
Syarikat gergasi pakaian sukan, Nike pada Isnin menyatakan bahawa pihaknya menggantung hubungan dengan Greenwood, manakala Man United mengeluarkan kenyataan pada Selasa mengulangi "kecaman keras mereka terhadap sebarang jenis keganasan".
Greenwood tidak membuat sebarang kenyataan rasmi berikutan penahanannya dan tidak menjawab percubaan Reuters untuk menghubunginya di media sosial.
Bercakap menjelang perlawanan pusingan keempat Piala FA Man United menentang Middlesbrough pada Jumaat, Rangnick menegaskan penahanan Greenwood tidak memberi kesan besar terhadap skuadnya.
"Kami menjalani latihan mingguan seperti biasa dengan lima sesi latihan termasuk hari ini.
"Jelas sekali ia adalah topik (perbualan) dalam pasukan tetapi mereka adalah manusia dan Mason adalah sebahagian daripada pasukan sebelum kami berehat," tambahnya.
Lingard boleh meninggalkan kelab secara percuma pada hujung musim apabila kontraknya tamat.
"Tiga minggu lalu, Jesse tidak mahu pergi, kemudian dia mengubah fikirannya.
“Saya berbual dengannya 10 hari lalu dan saya dapat memahami sepenuhnya mengapa dia mahu pergi bagi mendapatkan masa permainan untuk masa depannya dan Piala Dunia.
"Saya memberitahunya jika dia menemui kelab dan kami mencari penyelesaian dengan kelab kami, saya akan membenarkan dia pergi. Beberapa hari kebelakangan ini, keadaan berubah sedikit," ujar Rangnick.
Rangnick juga berkata, Lingard tidak akan beraksi menentang Middlesbrough supaya dia boleh "menjernihkan fikiran", dengan pemain tengah Perancis, Paul Pogba dalam pertimbangan untuk membuat penampilan pertamanya sejak November selepas berehat panjang akibat kecederaan. — Reuters
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram