LEGENDA Manchester United, Wayne Rooney mengakui sengaja mahu mencederakan rakan senegaranya, John Terry semasa perlawanan menentang Chelsea pada 2006.
Dalam perlawanan itu, The Red Devils yang bertandang ke Stamford Bridge gagal menghalang The Blues daripada memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris kedua mereka.
Sebelum perlawanan berkenaan, Man United berjaya merapatkan jurang dengan Chelsea di tangga kedua, namun sedar kekalahan di gelanggang lawan itu akan menyebabkan The Blues dimahkotakan sebagai juara.
Ternyata Man United bukan saingan buat Chelsea yang dibimbing pengendali Portugal, Jose Mourinho ketika itu apabila mudah ditewaskan 3-0.
William Gallas meletakkan pasukan tuan rumah di depan dengan tandukan pada minit kelima, sebelum Joe Cole dan Ricardo Carvalho menjarakkan kedudukan buat tuan rumah.
Perlawanan itu juga menyaksikan Rooney mengalami kecederaan patah tulang kaki, dan terpaksa diketepikan daripada permainan.
Tetapi, kini, bos Derby itu mengakui dia mahu mencederakan Terry yang juga kapten Chelsea sebelum dia dikeluarkan.
“Saya sangat kecewa kerana Chelsea bermain lebih baik daripada kami dan akan memenangi liga sehinggakan saya pergi mencari John Terry dalam perlawanan itu,” kata Rooney.
“Saya mengasari kakinya dengan stud but dan dia kemudian meninggalkan padang dengan bertongkat.
"Saya menandatangani jersi saya dan menghantar kepadanya beberapa minggu kemudian - dan bertanya sama ada saya boleh mendapatkan stud saya kembali.
“Jika anda melihat kembali gambar-gambar selepas perlawanan, Terry sedang meraikan (kemenangan) - tetapi dia bertongkat daripada terjahan itu.
“Kami tahu jika Chelsea menang maka mereka akan memenangi liga pada hari itu tetapi anda tahu mereka akan menang kerana mereka adalah pasukan yang lebih baik pada masa itu.
"Saya tahu ia akan membuatkan saya bengang, dan saya merasakan jika anda tidak boleh menang maka jangan biarkan mereka menikmati (kemenangan) sepuas yang mereka mahu."
Rooney turut mengakui dia memakai stud yang lebih panjang untuk menyebabkan kecederaan maksimum.
"Saya menukar stud saya sebelum perlawanan.
“Saya meletakkan stud yang lebih panjang kerana saya mahu mencederakan seseorang.
“Jika Chelsea mendapat satu mata, mereka akan memenangi liga. Pada masa itu, saya tidak dapat menerimanya.
“Stud itu sah, ia adalah saiz yang sah. Tetapi ia lebih besar daripada yang biasa saya pakai,” ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram