Kes Greenwood tarik perhatian pendakwah bebas


  • Mukmin
  • Ahad, 13 Feb 2022

MASON Greenwood digantung daripada The Red Devils dan Nike menggantung kerjasama dengan pemain itu. — Agensi

BINTANG Manchester United, Mason Greenwood digantung daripada The Red Devils dan Nike menggantung kerjasama dengan pemain berusia 20 tahun itu ekoran daripada didakwa menyerang teman wanitanya, Harriet Robson.

Keputusan mendadak itu dilaksanakan kerana keprihatinan Man United dan jenama gergasi besar itu mengenai imej positif yang perlu dibawa oleh seorang atlet.

Pendakwah, Firdaus Wong Wai Hung dalam hantarannya di laman Facebooknya berkata, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila pasukan atau penaja tidak teragak-agak untuk mengantung dan menamatkan kontrak dengan atlet yang disiasat dengan alasan integriti perlu diutamakan.

"Institusi atau gerakan Islam perlu menjuarai isu sebegini. Islam tidak mengajar kita menghukum sebelum seseorang disabitkan kesalahan dan Islam juga tidak mengajar kita menyucikan individu mahupun gerakan.

"Namun sayangnya bukan sahaja mereka yang sedang disiasat kerana kesalahan jenayah terus dijulang dan diraikan. Tetapi mereka yang telah didakwa di mahkamah dan malahan ada yang telah disabitkan kesalahan tetap dijulang serta dipertahankan!," katanya.

Jelas Firdaus lagi, terdapat juga syarikat media yang mengeluarkan pekeliling dalaman kepada kakitangannya agar tidak melaporkan laporan negatif tentang individu yang sedang disiasat pihak berkuasa, namun sebaliknya perlu dipositifkan berita tentangnya.

Pendakwah itu berkata, umat Islam perlu akui dalam hal intergriti, Barat lebih menjuarai berbanding Islam dan hidup sesorang Muslim itu perlu konsisten dengan prinsip serta nilai Islam.

"Ketaksuban pada tokoh atau gerakan yang kita nafikan dari awal itu sebenarnya ada pada diri kita sendiri. Ketaasuban membina emosi sehingga mendangkalkan akal menjadi kurang rasional dalam pertimbangan," jelasnya.

Selain itu, dia juga mengingatkan supaya umat Islam tetap teguh atas nilai Islamiah dan jangan sesekali mengadai nilai itu demi kesenangan yang seketika.

"Berani di atas nilai dan kebenaran walaupun kita seorang sahaja. Sebagian salaf mengatakan,: Hendaklah engkau menempuh jalan kebenaran. Jangan engkau berkecil hati dengan sedikitnya orang yang mengikuti jalan kebenaran tersebut. Hati-hatilah dengan jalan kebatilan. Jangan engkau tertipu dengan banyaknya orang yang mengikuti yang kan binasa (Madarijus Salikin, 1: 22)," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram