'Skrip' sama dua ikon sukan


  • Podium
  • Sabtu, 29 Jan 2022

RONALDO (kanan) dilihat tidak mampu membantu Man United mencabar kejuaraan pada musim ini. — Reuters

BAGI para peminat sukan, tentunya ada dalam kalangan anda mengenali dua ikon terkemuka ini iaitu Cristiano Ronaldo dan LeBron James.

Kedua-dua ikon itu adalah mereka berada dalam kelas tersendiri serta masih bermain di peringkat tertinggi meskipun sudah bergelar 'veteran'.

Ironinya, Ronaldo dan James memiliki 'persamaan' dalam karier mereka musim ini.

Ronaldo tiba di Manchester United pada jendela perpindahan musim panas lalu dengan harapan untuk membawa pasukan itu menjuarai piala selepas kali terakhir melakukannya ketika UEFA Europe League (UEL) pada musim 2016-2017.

Ronaldo beraksi cemerlang pada perlawanan debutnya menentang Newcastle United selepas sembilan tahun meninggalkan Man United dengan menjaringkan dua gol yang berakhir dengan keputusan 4-1.

Walaupun Ronaldo menampilkan prestasi yang baik bersama Man United musim ini dengan menjaringkan 14 gol dalam 23 perlawanan, namun itu belum cukup membawa pasukan itu ke tahap lebih tinggi.

Prestasi Man United dilihat 'yo-yo' pada musim ini dan mereka sedang bergelut merebut slot ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

Ketika artikel ini ditulis, Man United berada di tempat keempat dengan 38 mata, hanya dibezakan satu mata dengan pasukan di tangga kelima, West Ham United.

Bagaimanapun, Tottenham Hotspur yang berada di tangga keenam masih memiliki kelebihan apabila mempunyai baki tiga perlawanan berbanding Man United.

Ronaldo sebelum ini menyatakan beliau tidak datang ke Man United untuk berada di tangga ketujuh atau kelapan liga. Wujud khabar angin bahawa Ronaldo berkemungkinan akan meninggalkan Man United musim depan sekiranya kelab itu tidak layak ke UCL.

file7jfxixm0qjadbat1dev

JAMES (kanan) sering mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan. — AP

Situasi lebih kurang sama berlaku pada James. Pemain kelahiran Akron, Ohio, Amerika Syarikat (AS) itu tiba di Los Angeles Lakers pada 2018 dengan misi untuk mengembalikan semula kegemilangan pasukan berkenaan.

Kali terakhir pasukan itu menjulang trofi NBA adalah pada 2010 yang diketuai oleh legenda NBA, mendiang Kobe Bryant.

Sebaik tiba di Los Angeles, James memulakan misi melakukan rombakan dalam skuad sedia ada. Pada 2019, salah seorang pemain berbakat NBA, Anthony Davis dibawa masuk oleh James dari New Orleans Pelicans.

Percaturan James membawa Davis membuahkan hasil apabila Lakers berjaya menjuarai trofi NBA pada 2020.

Bagaimanapun, kejayaan yang dikecapi tidak bertahan lama apabila musim lalu, Lakers terkandas di pusingan pertama NBA Playoffs di tangan Phoenix Suns.

Musim ini, James menggunakan pendekatan membawa 'rakan-rakan' lamanya ke dalam skuad seperti Russell Westbrook, Carmelo Anthony, Dwight Howard selain mengekalkan pemain muda berbakat, Talen Horton-Tucker.

Namun, apa yang berlaku terhadap Ronaldo di Man United, begitulah terjadi kepada James di Lakers. Pasukan itu bergelut dan tidak menampilkan prestasi yang diharapkan serta sekadar berada di tangga kesembilan dalam West Conference.

Meskipun James merekodkan purata kira-kira 25 mata setiap perlawanan namun itu tidak cukup membantu Lakers mendominasi liga.

Kedua-dua pemain itu sering menuntut anggota pasukannya untuk beraksi lebih baik. Itu dapat dilihat menerusi media sosial dan temuramah bersama media musim ini.

photo6314099982868787154

KEDUA-DUA pemain itu merupakan tunggak utama pasukan pada musim ini. — Majoriti

Ironinya lagi, kedua-dua pemain meskipun sudah melewati usia 35 tahun, namun masih berada pada tahap fizikal yang terbaik berbanding pemain muda lain.

Sama ada Ronaldo atau James, mereka tidak mempunyai waktu yang panjang lagi dalam karier masing-masing.

Walau apa pun kesudahannya untuk kedua-dua pemain, mereka tetap bergelar legenda di hati para peminat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram