Kembali 'reunion' bersama Kedah, Baddrol Bakhtiar tetap 'Cinta Sampai Mati'


  • Podium
  • Sabtu, 12 Feb 2022

BADDROL (kiri) berkesempatan bertemu semula Aidil Sharin pada sidang media Piala Sabah Maju Jaya yang membuka tirainya pada Sabtu. — KDA FC

PERASAAN sayang 'Kapten Marvel', Baddrol Bakhtiar terhadap bekas pasukannya, Kedah FC dilihat masih menebal menjelang pertemuan berdepan Sabah FC dalam aksi pramusim Piala Sabah Maju Jaya di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 18 Februari depan.

Meskipun 'jodohnya' bersama Sang Kenari akhirnya terlerai selepas membuat keputusan berhijrah jauh menyeberangi Laut China Selatan menyertai The Rhinos musim ini, masih ramai peminat The Red Eagle yang seakan-akan belum dapat 'moved on' dengan kehilangan Baddrol memandangkan legenda bola sepak negara itu pernah menabur bakti di Stadium Darul Aman sejak 2005 sebelum ini.

Biarpun mungkin bakal dianggap 'musuh atas padang' selepas ini, nilai persahabatan yang dipamerkan Baddrol terhadap bekas rakan-rakan sepasukannya di Kedah sememangnya cukup mahal untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Buktinya ketika sidang media Piala Sabah Maju Jaya di Kota Kinabalu pada Sabtu, Baddrol turut berkesempatan bertemu semula bekas 'sifu', Aidil Sharin Sahak dan kapten Kedah, Syazwan Zainon.

Malah, Baddrol turut memuat naik semula beberapa Instastory berhubung 'reunion' berkenaan.

"Persahabatan," tulis Baddrol ringkas bersama dua lagu latar belakang Instastory iaitu Cinta Sampai Mati nyanyian Raffa Affar dan Teman Sejati dendangan Rabbani pada Sabtu.

STATUS Instastory yang dimuat naik Baddrol pada Sabtu.

Terdahulu pada Disember 2021, Baddrol menerusi Instagramnya menjelaskan sebab mengapa dia nekad mengucapkan selamat tinggal kepada Kedah FC sekali gus menyertai Sabah FC musim ini.

Dia juga berharap perpindahannya akan dapat memberi laluan kepada muka-muka baharu untuk menyambung legasinya di Kedah FC.

"Jatuh bangun saya bersama Kedah, Kedah tetap di hati saya. Doakan yang terbaik untuk kita semua.

"Terima kasih penyokong, pengurusan dan rakan seperjuangan pasukan Kedah, tanpa anda tiada lah saya," tulisnya ketika itu.

Seorang lagi bekas tonggak skuad Hijau Kuning, Rizal Ghazali juga mengikut jejak langkah Baddrol berhijrah ke Sabah FC musim ini.

Selain Kedah FC dan Sabah FC, dua lagi pasukan iaitu Sarawak United dan Kelantan FC turut beraksi dalam aksi pramusim Piala Sabah Maju Jaya yang membuka tirainya hari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram