PERBALAHAN antara para penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di media sosial baru-baru ini tercetus berikutan lagu bola sepak.
Seorang individu mencetuskan provokasi apabila mendakwa KDA FC tidak memiliki lagu bola sepak mereka tersendiri.
Tindakannya itu mengundang kecaman daripada penyokong skuad Sang Kenari selain menafikan dakwaan KDA FC tidak mempunyai lagu bola sepak.
Buktinya, seorang Mat Salleh pernah menyanyikan lagu keramat pasukan itu 'Biar Jasa Jadi Kenangan' sewaktu KDA FC muncul juara Piala FA pada 2017.
Video berkenaan pernah menjadi tular di media sosial pada tahun tersebut.
Dalam video berdurasi 1:11 minit itu, lelaki tersebut yang dikenali sebagai Sidronio Serafim, salah seorang peminat tegar pasukan Kedah, menyanyikan lagu itu dengan lancar walaupun terdapat sedikit loghat Inggeris terutamanya ketika menyebut perkataan 'Kedah'.
Difahamkan, Serafim yang berasal dari Brazil turut mempunyai beberapa rakan yang pernah bermain untuk pasukan Hijau Kuning itu seperti Robério, André Luiz dan penyerang sensasi, Sandro Mendonça.
Pada masa sama, Serafim berkata, dia amat gembira dengan kejayaan Kedah merangkul trofi Piala FA pada tahun berkenaan.
Sehingga kini, video itu ditonton sebanyak 9,970 kali di saluran YouTube Lang Hijau Kuning TV. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram