BELUM reda isu pergaduhan antara Penang FC dan Terengganu FC II (TFC II) baru-baru ini, kini para penyokong pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) serta Johor Darul Ta'zim (JDT) pula bertelagah di media sosial.
Perbalahan tercetus apabila seorang pengguna Facebook, Hafiz Muridan memuat naik hantaran mengkritik pasukan KDA FC.
"Lagu bola pun tiada, ada hati nak kalahkan JDT," menurutnya.
Tindakannya itu bagaimanapun mengundang kecaman daripada para peminat KDA FC.
"Jangan main cakap lepas saja bro. Lagu bola dah lama Kedah ada. Tapi nak tanya sejak bila Johor ada. Jangan riak dan takabur sangat. Orang Johor ini baru nak belajar tengok bola ke abang," kata seorang pengguna Facebook, Mohammad Hasif.
"Hang mengelupoq pasai apa bro? Hang baru tubuh fans sejak 2013, kami dah merasa enam piala berturut-turut, tiba-tiba tahun ini kata kami tak ada lagu bola.
"Hang ketinggalan zaman sungguh. Pergi bukak YouTube, cari lagu Kedah, orang kata nak minat bola sepak biaq selongkaq bagi abis, kalau tak malu air muka sendiri," ujar seorang lagi pengguna Facebook, Muhammad Amiruddin.
ANTARA komen warganet di Facebook. — Facebook
Musim lalu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berperang mulut sebelum pertemuan kedua-dua pasukan pada peringkat suku akhir Piala Malaysia.
Provokasi antara para penyokong bola sepak bukan satu perkara luar biasa. Di luar negara juga berlaku perkara sama seperti di Itali, antara peminat AS Roma dan Napoli serta di England, musuh tradisi iaitu Manchester United dan Liverpool. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram