Baddrol, Rizal kembali 'berentap' bersama Kedah


  • Podium
  • Jumaat, 04 Feb 2022

BADDROL (kanan) dan Rizal membuat keputusan untuk berhijrah ke Sabah musim ini. — Facebook

KEHADIRAN tonggak utama Sabah FC, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali yang sebelum ini bersama Kedah FC (KDA FC) pastinya dinanti-nantikan peminat menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi pramusim Jelajah Sabah sebelum sepak mula Liga Super bermula 26 Februari depan.

Sudah pasti, peminat bola sepak Kedah tertunggu-tunggu untuk melihat keserasian Baddrol bersama Sabah FC memandangkan bekas kapten Kedah itu setia bersama skuad Hijau Kuning sejak 2005.

Begitu juga dengan Rizal yang telah menyumbang bakti untuk Kedah selama lapan tahun bermula 2014, lebih-lebih lagi kedua-duanya membawa skuad KDA FC menjulang kejayaan dalam Piala Malaysia.

Justeru, aksi kedua-dua pemain senior itu kembali menentang KDA FC buat julung-julung kalinya semestinya dinantikan peminat bola sepak The Red Eagle meskipun perlawanan tersebut hanya medan pemanas badan sebelum saingan Liga Super bermula.

Sebelum bertemu Sabah FC, fasa terakhir aksi pramusim Jelajah Sabah yang diatur KDA FC terlebih dulu menyaksikan skuad The Red Eagle itu bertemu pendatang baharu Liga Super, Sarawak United pada 12 Februari depan sebelum berdepan Kelantan FC pada 15 Februari.

Kemuncak aksi pramusim tersebut menyaksikan KDA FC bertemu The Rhinos pada pertemuan akhir siri aksi pramusim itu yang akan berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 18 Februari.

Sebelum itu, Kedah terlebih dulu mengharungi aksi pramusim di Lembah Klang apabila dijadualkan bertemu PIB FC (Sabtu), PDRM FC (7 Februari) dan UiTM FC pada 9 Februari di Padang Sime Darby, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu sudah menamatkan empat perlawanan pramusim bertemu MADA FC, skuad bawah 21 Tahun Kedah, Langkawi City FC dan Respect FC dengan jumlah keseluruhan jaringan 18 gol tanpa dibolosi.

Aidil sebelum ini dilaporkan berkata, dia mahu melihat lebih jauh kemampuan skuad Hijau Kuning apabila berdepan pasukan dari luar Kedah di Liga Premier dan Liga Super serta dibarisi pemain di peringkat berbeza.

"Terlalu awal hendak dikatakan mengenai kemampuan sebenar melalui empat perlawanan pemanas badan walaupun dilalui dengan keputusan yang baik dan tanpa bolos, kami perlu perlu terus pandang ke depan dan bersedia untuk menghadapi saingan peringkat yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram