KEMELUT yang menimpa kelab Liga Premier, Perak FC nampaknya masih belum berakhir walaupun pegangan saham pasukan itu sudah diambil sepenuhnya iaitu sebuah syarikat pengiklanan Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd hujung tahun lalu.
Selepas beberapa tonggaknya memilih jalan keluar ekoran masalah tunggakan gaji, Perak FC melakukan rombakan secara besar-besaran terhadap skuadnya apabila membawa masuk ramai pemain baharu bagi menghadapi saingan musim 2022.
Antara tonggak yang dibawa masuk adalah penyerang legenda, Indra Putra Mahayuddin dan dua bekas pemain kebangsaan, Wan Zack haikal dan Syamim Yahya.
Kelab turut difahamkan sudah mempunyai beberapa calon pemain import bagi memperkuat pasukan untuk merealisasikan impian kembali ke Liga Super pada 2023.
Namun, segala-segalanya nampaknya menjadi serba tidak kena buat The Bos Gaurus apabila kelab dilaporkan masih belum bebas daripada sekatan perpindahan pemain yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Perkara itu dikongsi wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di laman Twitter pada Jumaat.
"Perak FC berdepan risiko tak boleh daftar pemain baharu. Difahamkan, kelab itu belum bebas daripada transfer ban (larangan perpindahan pemain) FIFA ketika jendela pertama perpindahan pemain berakhir 22 Februari ini.
"Apa nasib calon import baharu termasuk (pemain tempatan) Indra Putra, Wan Zack Haikal dan Syamim Yahya?" ciapnya.
Terdahulu, Perak dikenakan hukuman sekatan perpindahan pemain oleh FIFA susulan kegagalan menyelesaikan isu tunggakan gaji.
Ia menyebabkan kelab berdepan risiko tidak boleh menandatangani pemain baru sama ada import atau tempatan menjelang musim baru Liga Malaysia.
Dalam ciapan berlainan, Zulhelmi turut memberitahu bahawa isu tunggakan gaji yang sebelum ini dilaporkan sudah selesai masih lagi melanda kem Perak.
"Status tunggakan gaji Perak FC, difahamkan pemain masih belum menerima pembayaran kedua yang sepatutnya dijelaskan pada 31 Januari lalu dan kelab itu dikatakan telah memohon tempoh lanjutan sehingga 15 Februari ini untuk menyelesaikan masalah berkenaan," ciapnya.
Media sebelum ini melaporkan, pengurusan Perak FC akan melakukan pembayaran gaji yang tertangguh selama empat bulan dari Ogos itu secara berperingkat, iaitu bayaran pertama dikeluarkan pada 31 Disember sementara bayaran kedua pada 31 Januari lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram