Pasal lagu pun nak gaduh, Johor pun ada sejak 1985


  • Podium
  • Sabtu, 12 Feb 2022

LAGU boleh menjadi 'senjata' buat penyokong dalam memberi semangat kepada pasukan sendiri. — Bernama

DALAM bola sepak, lagu adalah salah satu elemen penting bagi sesebuah kelab dan menjadi kebanggaan buat penyokong serta pemain pasukan.

Ia boleh menjadi 'senjata' buat penyokong dalam memberi semangat kepada pasukan sendiri dan juga mendatangkan perasaan gerun terhadap pasukan lawan.

Pada Jumaat, Majoriti melaporkan pergaduhan antara penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Takzim (JDT) berkaitan lagu pasukan masing-masing.

Ia tercetus selepas seorang penyokong JDT memuat naik hantaran mengkritik pasukan KDA FC di Facebook.

"Lagu bola pun tiada, ada hati nak kalahkan JDT," katanya.

Tindakannya itu bagaimanapun mengundang kecaman daripada para peminat KDA FC.

Ekoran perdebatan hangat itu, seorang pengguna Facebook, Aruselvam Mukesh cuba menenangkan keadaan dengan menceritakan mengenai sejarah lagu kedua-dua pasukan itu.

"Pasal lagu pun bergaduh, nak habaq (bagitahu) baik kepada penyokong Kedah dan JDT... Johor (bukan JDT) masa tu ada buat lagu ketika mereka masuk final 1985.

"Ia dicipta oleh pemain Johor sendiri bernama Lahad Daduk, tapi sayangnya lagu tu tak pernah dengar pun dan tak popular.

"Kedah buat lagu 'Biar Jasa Jadi Kenangan' sempena masuk final 1987, dan lagu itu kekal popular sampai sekarang... Boleh kata semua peminat bola sepak Kedah tahu nyanyi lagu tersebut.

"Ada perbezaan tu antara lagu Kedah dan Johor... Sekadar perkongsian, jangan gaduh," katanya.

WhatsApp Image 2022-02-12 at 08.52.07

Perkongsian Aruselvam mengenai lagu kedua-dua pasukan.

Dia turut memberitahu sejarah lagu rasmi pasukan Selangor FC, 'Merah Kuning' yang pada asalnya bukan dicipta untuk bola sepak.

"Nak tambah lagi satu, lagu 'Merah Kuning' pasukan Selangor tu pun bukan lagu asal untuk bola sepak tetapi disebabkan liriknya boleh dipelbagaikan, maka lagu tersebut dah jadi lagu rasmi untuk bola sepak Selangor," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

lagu, kelab, bola sepak, jdt, kda fc, liga super