Ronald Ngah jelmaan legenda 'double-treble'


  • Podium
  • Selasa, 18 Jan 2022

NGAH merupakan penjaring terbanyak Liga Jordan pada musim lalu bersama kelab Al-Salt. — Al-Salt

PASUKAN Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC dijangka bakal melengkapkan perpindahan penyerang berbisa dari Liga Jordan, Ronald Ngah dalam masa terdekat.

Pemain yang berasal dari Cameroon itu difahamkan sudah mengikat perjanjian dengan naib juara Liga Super musim lalu itu dan hanya menunggu pengumuman rasmi kelab.

Melihat kepada sosok tubuh serta gaya permainan pemain Cameroon itu, peminat Kedah pastinya masih ingat akan legenda yang mengetuai bahagian serangan mereka ketika zaman kegemilangan 'double treble' pada 2007 dan 2008, iaitu Marlon Alex James.

James meledak 44 gol dalam 44 penampilan ketika bersama Kedah pada 2006 hingga 2008, membantu Kedah menjuarai Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA selama dua musim berturut-turut.

Rekod jaringan Ngah juga bukan calang-calang. Beliau merupakan penjaring terbanyak Liga Jordan pada musim lalu bersama kelab Al-Salt.

Penyerang prolifik yang berasal dari Cameroon itu menjaringkan hampir separuh gol kelabnya dalam kempen liga apabila merekodkan 15 gol daripada 20 penampilan.

Seakan-akan kebetulan, Ngah ketika ini berusia 30 tahun, usia sama ketika James tiba di Kedah.

Kedua-dua pemain itu mempunyai fizikal yang kuat dan kawalan bola yang mantap serta bijak membuat larian berbahaya melepasi pertahanan lawan.

Bukan itu sahaja, mereka juga bijak mencari ruang dalam kawasan penalti dan mempunyai penyudah yang tajam serta bijak menghidu peluang yang terhidang di depan gol.

Kehadiran Ngah ke Stadium Darul Aman sememangnya ditagih penyokong Lang Merah selepas kehilangan dua penyerang berbisa mereka, Tchetche Kipre dan Kpah Sherman yang berpindah ke Terengganu FC.

Keupayaan yang dimiliki Ngah pasti bakal memberi kelebihan kepada ketua jurulatih, Aidil Shahrin yang mahu menerapkan corak permainan pantas dalam skuadnya musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram