Fadhli Shas dedah sebab sertai Melaka United


  • Podium
  • Rabu, 26 Jan 2022

BEKAS tonggak utama skuad Harimau Muda A itu tidak menafikan Melaka dibarisi oleh pemain-pemain berkualiti yang pastinya akan menghadirkan perebutan sengit dalam kesebelasan utama.

SETELAH lapan tahun bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Fadhli Shas ingin kembali mencipta nama apabila dipinjamkan beraksi bersama pasukan Melaka United FC (Melaka United).

Pemain pertahanan itu akui telah mendapat pelbagai pengalaman sepanjang bersama JDT sejak 2014 dan dengan persaingan sengit dalam kelab itu menjadikan dirinya lebih matang untuk berebut peluang terbaik.

Pada musim lepas Fadhli hanya beraksi di pentas Liga Premier dengan 10 penampilan bersama JDT II, pemain berusia 31 tahun itu tekad ingin membuktikan sesuatu bersama Melaka pada musim nanti di samping ingin membantu skuad itu berada di kedudukan lebih baik berbanding tahun lalu.

"Sejujurnya saya tidak ingin menjanjikan sesuatu yang luar biasa, cuma InsyaALLAH saya akan memberikan yang sebaiknya untuk Melaka dan saya secara peribadi percaya saya boleh mencapai sesuatu dengan pasukan ini.

"Apabila kita dah bermain secara profesional, tidak kira di mana pun saya akan diletakkan sebelum ini, sama ada di pasukan bawah ke di atas ke, saya akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk pasukan," katanya.

Fadhli juga berharap untuk mendapat sokongan daripada penyokong-penyokong pasukan Sang Kancil itu agar dapat membantunya untuk memperoleh kejayaan bersama Melaka pada musim baharu nanti.

Namun, bekas tonggak utama skuad Harimau Muda A itu tidak menafikan Melaka dibarisi oleh pemain-pemain berkualiti yang pastinya akan menghadirkan perebutan sengit dalam kesebelasan utama.

Dia juga berharap agar khidmatnya akan digunakan lebih kerap oleh pasukan itu dalam perlawanan sekali gus menghidupkan kembali peluang untuknya kembali bersama skuad kebangsaan.

“Kalau masih diberi peluang, saya tidak menolak rezeki untuk kembali ke pasukan kebangsaan, tetapi saya tidaklah meletakkan itu sasaran utama, sebab yang penting adalah untuk beri terbaik kepada Melaka terlebih dahulu.

“Sebelum ini mungkin karier agak tenggelam sebab beraksi di Liga Premier, dan sekarang kembali ke pentas Liga Super, saya percaya kalau sentiasa konsisten, rezeki untuk beraksi dengan skuad kebangsaan mungkin ada," ujarnya.

Dalam pada itu, dia juga mengucapkan terima kasih kepada pemilik pasukan JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim) dan pihak pengurusan Melaka United atas peluang yang diberikan kepadanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Fadhli Shah, Melaka United, JDT,